TINDAKAN penyanyi Datuk Jamal Abdillah menarik diri daripada bertanding pada Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang bakal berlangsung pada 3 Mac ini mengejutkan ramai pihak. Jamal atau Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 65, berkata, dia menarik diri disebabkan tidak berpuas hati susulan peserta bertanding secara percuma sedangkan pihak produksi menjual tiket kepada penonton yang ingin menyaksikan AJL38. Kata Jamal, sebagai artis senior dia kurang senang dengan perkara tersebut apatah lagi pihak produksi mengaut keuntungan menerusi jualan tiket selain mendapat tajaan.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu tentang jualan tiket dan membuat keputusan (menarik diri) kira-kira sebulan lalu. Saya juga sudah berbincang dengan syarikat penerbit lagu dan mereka juga seolah-olah tidak mahu keluarkan bayaran. Jadi saya rasa malas untuk berbincang lanjut dan lebih baik tarik diri. Saya juga ada tawaran persembahan di Sabah yang sudah diatur. Jadi buat masa sekarang saya lupakan terus tentang AJL38,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Jamal sepatutnya bertanding di pentas AJL38 bersama penyanyi Wany Hasrita menerusi lagu duet mereka berjudul Kucuma. Dalam pada itu, Jamal berharap pihak produksi membuka mata dan tidak mengambil mudah akan nasib artis baharu yang mahu mencipta nama di pentas berprestij berkenaan. Jelasnya, sekiranya dia tidak bertindak menarik diri perkara tersebut akan terus berlarutan dan nasib penyanyi generasi baharu tidak akan terbela. “Isu ini bukan soal duit semata-mata, saya ada pendapatan lain juga. Tetapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk memperjuangkan nasib artis muda. Kalau saya tak buat perkara ini akan terus berlarutan.
Setidak-tidaknya keluarkanlah sedikit bayaran kerana produksi menjual tiket dan mereka terima tajaan berjuta ringgit. Artis baru mungkin tidak berani bersuara, jadi biar saya yang buat. Kalau produksi nak ‘ban’ saya pun tidak ada masalah. Bukan senang untuk penyanyi macam kami ini mahu cari rezeki,” ujarnya. Dalam masa sama Jamal juga berharap penyanyi yang akan menggantikannya dapat memberikan persembahan terbaik bersama Wany.
“Saya hanya maklumkan kepada pihak pengurusan Wany tentang penarikan diri. Saya yakin ada penyanyi lain boleh ganti untuk persembahan lagu itu. Sekarang ini saya bukan mahu kejar glamour. Saya mahu lakukan sesuatu yang boleh dapat menjaga kebajikan artis,” jelasnya. Difahamkan penyanyi Afieq Shazwan akan menggantikan tempat Jamal menerusi karya ciptaan A. Ramlee dan Ezra Kong itu. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.