ANAK kepada penyanyi Shila Amzah iaitu Seth Uwais dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Seri Kembangan, Selangor akibat bronkitis atau jangkitan pada paru-paru sejak Khamis lalu. Suami Shila iaitu Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 26, memberitahu Seth terpaksa dibawa ke hospital kerana keadaan kesihatan semakin merosot selepas pulang dari sekolah. “Semalam (Khamis) sewaktu Seth ke sekolah keadaannya baik-baik sahaja tetapi lepas habis habis waktu persekolahan saya nampak kondisinya seperti tidak baik.
“Dia jalan seperti bengkang-bengkok dan tidak sihat. Kami sudah membawanya ke klinik dan dia okay sikit cuma bila menjelang petang badannya menggigil,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat. Berkongsi perkembangan terkini, Ubai memberitahu Seth mula menunjukkan tanda positif dan semakin baik. Seth bagaimanapun masih memerlukan rawatan di hospital sehingga keadaan kesihatannya benar-benar pulih.
“Doktor mengesahkan Seth mengalami jangkitan paru-paru atau bronkitis dan suhu badan pun meningkat sehingga 39 darjah celcius. Tapi Alhamdulillah sehingga hari ini (Jumaat) keadaan dia semakin baik. Cuma dia masih perlu dirawat di hospital dan paling cepat untuk pulang ke rumah pada Ahad ni,” ujarnya. Dalam pada itu, Ubai dan Shila memohon turut orang ramai untuk mendoakan kesihatan anak mereka. Malah Shila juga bimbang dengan keadaan anaknya itu memandangkan dia perlu menyelesaikan komitmen kerja dan terlibat untuk persembahan di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) Ahad ini.
“Kami pun sekarang agak sibuk, minggu depan perlu ke Sabah untuk urusan kerja. Shila pula sibuk dengan persiapan persembahan di AJL Ahad ini. Jadi kami perlu mainkan peranan penting untuk menjaga Seth selain melaksanakan tugasan hakiki. Kami berharap agar orang ramai juga dapat mendoakan kesembuhan Seth,” katanya. Untuk rekod, Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 34, mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 4 Ogos tahun lalu.
Sebelum itu, Shila berkahwin dengan Haris Edraki pada 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan perpisahan. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia lima tahun. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.