Banyak dapat komen tak senonoh dan hinaan, Sophia Albarakbah tengah kumpul bukti dan nak ambil tindakan

PELAKON Sophia Albarakbah tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang tinggalkan komen berbaur tak senonoh dan hinaan kepadanya menerusi media sosial. Menerima mesej keterlaluan daripada individu tidak dikenali, Sophia, 31, berkata dia sudah mengumpul bukti kiriman yang diterima dan bakal mengambil tindakan selanjutnya. “Saya banyak terima ‘direct message’ (DM) yang tidak senonoh. Saya tidak tahu bagi mereka adakah ini perkara lawak dengan menghantar DM tidak senonoh seperti itu.

“Saya sedang menyimpan bukti, semua DM atau komen yang teruk seperti makian dan perkara tidak senonoh semua saya buat tangkap layar untuk dijadikan bahan bukti supaya dapat mengambil tindakan selanjutnya. Terserah kepada kalian semua jika mahu terus melakukan perkara itu. Ada banyak yang saya nampak tinggalkan mesej tidak senonoh, jadi saya simpan semuanya sebagai bahan bukti,” katanya.

Sophia berkongsi perkara itu ketika ditemui di tayangan perdana filem Harimau Malaya: The Untold Journey yang diadakan di GSC The Starling, Petaling Jaya, Selangor pada malam Isnin. Dalam pada itu, Sophia turut memberitahu dia menerima pelbagai mesej berbaur kebencian tanpa punca yang diketahui. “Saya tidak pasti sejak bila perkara ini berlaku, tapi bila saya buka sahaja DM, memang ada banyak mesej tidak senonoh dan berbaur kebencian. Ada juga yang bersungguh-sungguh membenci tanpa sebab.

Ada dua perkara saya terima, iaitu mesej tidak senonoh terutama daripada lelaki. Satu lagi adalah mesej memaki hamun tanpa sebab spesifik. Saya tak tahu motif mereka. Boleh dikatakan kira-kira 50 peratus DM saya dipenuhi dengan mesej lucah, tapi saya tidak terus sekat sebab mahu kumpul bukti,” ujarnya. Pelakon drama From Saga With Love itu mengakui pada mulanya dia berasa agak tertekan dengan komen dan mesej yang diterima, namun mengambil langkah untuk tidak membaca tulisan negatif itu.

“Pada awal sudah tentu saya terkesan dengan perkara ini. Tapi, saya tetap perlu bekerja dan hidup seperti biasa. Jadi, saya cuba untuk tidak terlalu baca semua komen atau mesej sebegitu. Saya cuba tapis perkara yang tidak baik seperti itu,” katanya. Dalam perkembangan lain, Sophia bakal muncul dalam filem Harimau Malaya: The Untold Journey arahan Datuk Afdlin Shauki yang akan ditayangkan di pawagam bermula 15 Ogos ini.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version