GOSIP mendakwa pelakon Emma Maembong sudah menamatkan zaman janda dengan seorang deejay kelab malam adalah tidak benar. Kakak Emma iaitu Shikin Maembong, 42, bagaimanapun tidak menafikan aktres itu sedang berkawan dengan lelaki dimaksudkan namun dalam fasa mengenali hati budi masing-masing. “Dia memang sedang berkawan, biasalah fasa perkenalan dengan orang baru tetapi tidak ada perancangan berkahwin pun.
Kami adik-beradik memang rapat, masing-masing berkawan dengan siapa pun kami akan kongsi bersama. Apabila gosip ini keluar, saya tahu dia memang sedang berkawan tetapi kahwin itu tidak ada,” katanya ketika dihubungi pada Selasa. Shikin menjelaskan jika benar Emma mahu mendirikan rumah tangga aktres itu pasti akan memaklumkan hasratnya kepada semua adik-beradik.
Jelas Shikin, Emma tidak akan membuat keputusan dengan membelakangkan keluarga malah akan merujuk adik-beradik terlebih dahulu. “Sebenarnya berita ini (pernikahan Emma) memang buat saya terkejut sebab kalau apa-apa perancangan fasal perkahwinan sudah tentu kami adik-beradik akan dimaklumkan terlebih dahulu. Emma memang jenis seperti itu sebab kalau apa-apa dia akan rujuk kepada kami adik-beradik.
Apa saya boleh katakan, berita perkahwinan Emma itu tidak benar. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba pula keluar cerita seperti itu. Terkejut juga,” ujarnya. Sebelum ini, timbul gosip mengatakan Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 33, sudah berkahwin dengan seorang deejay dikenali sebagai DJ Kidd. Malah Emma dan lelaki berkenaan turut didakwa bercuti bersama di luar negara berdasarkan gambar tular di media sosial.
Pada Oktober tahun lalu, Emma mendedahkan dia dan suami iaitu Muhammad Shazli Azhar sudah pun berpisah secara baik. Untuk rekod, Emma mendirikan rumah tangga dengan Shazli pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 5, dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.