Tahukah anda pelbagai perubahan akan berlaku pada tubuh apabila usia meningkat. Seiring dengan bertambahnya usia, setiap orang akan mengalami proses penuaan yang kesannya boleh dilihat pada hampir setiap bahagian tubuh dan bukan sekadar wajah berkedut. Penuaan pada tubuh manusia adalah proses kemunduran proses fisiologi yang tidak dapat diubah. Dengan erti kata lain, penuaan adalah ketidakmampuan tubuh untuk memperbaiki dirinya sendiri dan menghasilkan sel-sel baharu.
Tubuh manusia memiliki banyak jenis sel yang bervariasi dan ada di antaranya memiliki jangka hayat yang pendek seperti sel kulit dan tulang. Jenis sel ini memiliki kemampuan untuk diperbaharui secara teratur dengan sel baharu menggantikan sel lama. Sel-sel lain pula boleh hidup dalam tempoh lama tetapi tidak dapat diperbaharui seperti sel-sel saraf otak manusia. Banyak perubahan terjadi pada tubuh seiring bertambahnya usia kerana sel, jaringan dan organ yang tidak dapat diperbaiki oleh tubuh. Berikut adalah perubahan yang boleh terjadi sebagai tanda-tanda seseorang mengalami penuaan.
Kehilangan otot
Antara usia 30 ke 40 tahun, massa tubuh (body mass) tanpa lemak akan mula menurun. Ini bererti penghasilan sel otot tubuh akan mengecut. Pada ketika seseorang mencapai usia 50 tahun, seseorang mungkin hanya memiliki massa otot sebanyak 10 peratus berbanding ketika usianya 30 tahun. Akibatnya, seseorang akan lebih sukar mengangkat barang selain akan mempengaruhi daya tahan tubuh, keseimbangan, bahagian bawah tubuh lebih mudah kehilangan otot dan kekuatan bahagian atas badan akan terbatas.
Pereputan tulang
Pereputan tulang juga merupakan perubahan tubuh yang biasa terjadi apabila usia semakin meningkat. Faktanya, apabila usia bertambah, kerosakan sel tulang lebih laju berbanding penghasilan sel tulang baharu. Perkara ini menyebabkan tulang menjadi kurang padu dan rapuh. Ia juga memicu masalah osteopenia atau osteoporosis. Orang dewasa biasanya akan kehilangan ketinggian badan setengah inci setiap 10 tahun selepas mencapai usia 40 tahun.
Bentuk tubuh
Perubahan otot dan tulang akan memberi kesan kepada bentuk tubuh manusia. Ketika seseorang mula kehilangan otot dan tulang mereput, lemak tubuh akan meningkat sehingga mengubah komposisi tubuh. Sebahagian besar lemak baharu kemudiannya akan berkumpul di bahagian perut dan boleh menyebabkan peningkatan risiko penyakit kronik seperti masalah jantung dan diabetes.
Perubahan pencernaan
Manusia juga secara berperingkat akan mengalami masalah pencernaan ketika proses penuaan berlaku seperti gastrik dan sembelit. Masalah pencernaan ini berlaku disebabkan perubahan usia yang mempengaruhi fungsi saluran penghadaman manusia. Makanan yang dimakan akan memerlukan lebih banyak waktu untuk diproses dan bergerak ke saluran pencernaan menyebabkan sakit ulu hati dan sembelit. Seseorang juga akan merasakan makanan kegemaran mereka suatu ketika dahulu tidak lagi mempunyai rasa yang sama. Ia turut menjadi petanda perubahan pada deria rasa dan selera makan semakin ‘menua’.
Perubahan kognitif
Antara usia 30 hingga 40 tahun, signal saraf antara tubuh dan otak akan mula menjadi lambat. Perubahan ini menyukarkan seseorang untuk mengenal pasti, memproses maklumat dan melakukan sesuatu dengan lebih lambat. Jadi jangan pelik sekiranya anda tiba-tiba lupa di mana anda meletakkan kunci.
Perubahan deria
Penuaan akan memberi kesan kepada daya penglihatan dan pendengaran selain deria rasa. Apabila seseorang memasuki usia 40 tahun, mata akan lebih mudah menjadi kaku dan kurang fleksibel sehingga sukar fokus terhadap cahaya. Sebagai contoh, anda mungkin akan memegang buku lebih jauh daripada mata untuk membaca (rabun dekat). Tidak hanya itu, perubahan pada bunyi juga akan berubah. Anda mungkin akan menaikkan suara televisyen seiring bertambahnya usia.
Perubahan kulit
Kulit menjadi lebih kering dan kurang kenyal disebabkan penghasilan minyak yang sedikit seiring bertambahnya usia. Selain itu, seseorang akan kurang berpeluh, kehilangan jaringan lemak di bawah kulit dan membuatkan seseorang kelihatan lebih kurus termasuk kedutan yang ketara.
Perubahan gigi
Manusia akan lebih mudah mengalami masalah gusi dan gigi seiring bertambahnya usia selain gigi akan goyang dan tercabut. Pada bahagian mulut pula akan mudah berasa kering sehingga meningkatkan risiko mengalami kerosakan gigi dan jangkitan kuman.
Penurunan stamina
Jika dahulu lari sepuluh pusingan tidak menjadi masalah, kini menghabiskan dua pusingan boleh membuatkan anda tercungap-cungap. Itu tanda penurunan stamina dan penuaan jantung. Apabila usia meningkat, dinding jantung menjadi lebih tebal, arteri mengeras dan degupan jantung lebih perlahan. Tetapi, semakin usia meningkat, kita dinasihatkan untuk terus bergerak aktif bagi mengurangkan risiko penyakit jantung.
Perubahan organ seksual
Adalah menjadi perkara biasa bahagian organ seksual turut mengalami perubahan apabila usia semakin meningkat. Bagi wanita, mereka akan mengalami menopause yang mengakibatkan jaringan vagina menjadi lebih kering, nipis dan kurang kenyal. Itu membuatkan hubungan intim menjadi kurang menyenangkan. Payudara juga akan kehilangan jaringan dan lemak sehingga membuatkan saiznya menjadi lebih kecil dan kendur. Bagi lelaki pula, mereka akan sukar untuk berereksi ketika melakukan hubungan seks. Sumber, mstar