PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyangkal tuduhan pelakon Datuk Fizz Fairuz yang mendakwa pertubuhan berkenaan tidak mengambil sebarang tindakan sekiranya berlaku kejadian tak diingini terhadap ahli mereka. Setiausaha Agungnya Hafiz Nafiah menjelaskan sudah banyak inisiatif dan dasar yang dilakukan badan berkenaan demi kepentingan dan kebajikan ahli. “Dia (Fizz Fairuz) seolah-olah memberi gambaran bahawa selama ini Seniman tidak berbuat apa-apa untuk ahli-ahli kami. “Kami ingin memaklumkan kepada beliau bahawa selama ini banyak inisiatif dan dasar yang Seniman lakukan untuk ahli-ahli,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.
Fizz menerusi hantaran di Instagram miliknya meluahkan rasa kecewa susulan kemalangan menimpa aktres Fasha Sandha yang mengalami patah tulang mata kiri selepas kepalanya terhantuk di bucu katil ketika melakonkan adegan menerusi drama Anak Tuan bersama aktor Azhan Rani. Aktor itu berpendapat sebagai anak seni mereka tidak perlu bersungguh-sungguh kerana jika berlaku sebarang kemalangan semuanya perlu ditanggung sendiri.
“Inilah nasib anak seni, KWSP, Perkeso tak ada. Seniman tak gerak pun dari dulu. Yang merana artis kena tanggung sendiri. “Kalau mampu, tak mampu, mereput dalam rumah. Faham-faham sahajalah,” tulisnya. Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai isu berkenaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dibangkitkan Fizz, Hafiz menjelaskan Seniman sudah pun menjalinkan kerjasama dengan pihak berkenaan sejak 2020. Bagaimanapun kata Hafiz, sejak kerjasama itu dibuat, hanya 82 ahli Seniman yang mendaftarkan diri di bawah skim khas Perkeso bagi melindungi diri mereka ketika bekerja.
“Terima kasih kepada beliau kerana membangkitkan isu tentang Perkeso dan memberi ruang untuk ahli Seniman tahu bahawa kami telah pun bekerjasama dengan Perkeso sejak 2020. “Dalam kerjasama ini, Seniman dilantik menjadi ejen tunggal untuk kategori seni budaya sejak rundingan antara dua pihak dibuat sejak 2019. “Sejak dua tahun ini data Seniman hanya mencatatkan 82 orang ahli Seniman yang berdaftar di bawah skim tersebut,” terangnya. Hafiz turut meluahkan rasa kesal dengan kenyataan dibuat Fizz dan menganggap aktor itu bertindak serkap jarang selain mencalarkan imej Seniman kerana kenyataan yang tidak berasas.
Sumber, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.