HIDUP berjiran pasti menuntut kita untuk menjaga adab demi memelihara keharmonian antara satu sama lain. Sekiranya ada perasaan kurang berpuas hati mengenai sesuatu perkara, seelok-eloknya buat aduan mengikut cara yang betul atau bersemuka dengan jiran untuk mencari penyelesaian terbaik. Dalam satu perkongsian yang tular di laman sosial, seorang pelayar memuat naik gambar memaparkan nota amaran yang ditulis dan ditampal oleh jirannya, yang mengadu mengenai bunyi bising lesung batu.
“Minta kerjasama untuk tolong jangan guna lesung batu lewat malam. Tolong hormat waktu tidur orang lain. “Jika berlaku lagi, akan direkod dan aduan akan dibuat pada management (pengurusan) ****,” demikian mesej yang ditulis pada nota berkenaan. Difahamkan, nota bertulisan tangan itu ditampal di dinding berhampiran unit kediaman individu berkenaan yang merupakan penghuni pangsapuri. Membuat hantaran pada laman Facebook sebagai menjawab tuduhan jirannya, individu tersebut bagaimanapun menafikan bahawa bunyi lesung batu itu datang dari rumahnya.
“Nak cakap macam mana ya dengan jiran yang tegur kami macam ni? Sebab orang tuduh rumah kami, tapi rumah kami dengar bunyi tu dari rumah lain…jeng jeng jeng. “Rumah kami jarang masak apatah lagi nak ketuk lesung bagai.. guna blender ja,” tulisnya. Menjengah ke ruangan komen, segelintir warga maya menyifatkan kejadian bunyi tumbukan lesung batu adalah perkara biasa di kediaman jenis pangsapuri dan mengaitkannya dengan unsur mistik. Malah mereka juga berkongsi kejadian yang pernah dilalui di kediaman masing-masing dan apabila disiasat, ternyata ia bukan datang dari kediaman jiran-jiran terdekat.
“Jiran kami rajin menumbuk sambal. Bila siasat sendiri satu rumah ke satu rumah, tak ada siapa pun menumbuk sambal. Akhirnya jiran sebelah je. Wah, sakan punya menumbuk, padahal tak ada orang duduk pun. “Dia pernah dengar bunyi lesung batu je. Itu belum lagi dia marah jiran ‘susun perabot’ atau anak jiran ‘main guli’ ye. “Aku dulu jiran bawah datang tegur suruh jangan guna batu lesung waktu malam. Masalahnya aku masa tu bujang… ada periuk nasi saja,” demikian antara komen warganet. Dalam pada itu, ada warga maya yang turut mencadangkan solusi agar bunyi ketukan lesung batu dapat diminimakan dan tidak mengganggu jiran lain.
“Beli lapik lesung ni sis, confirm tak ada bunyi dah. “Dermakan blender elektrik yang kedap bunyi. Habis cerita. Anda happy, jiran pun happy,” tulis beberapa warganet. Ada juga yang tampil memberi penjelasan dengan mengatakan bunyi aneh yang terhasil di kediaman jenis pangsapuri adalah disebabkan tekanan air. “Dah ada kajian. Apabila malam tekanan air dalam paip tinggi kerana kurang penggunaan. Itulah kadangkala menghasilkan bunyi lesung batu dan manik jatuh ke lantai. “Aku syak bunyi ‘water hammering’ tu. Kesian jiran dia, tak pasal-pasal kena tuduh bukan-bukan,” komen warganet.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.