SEJAK kebelakangan ini, kisah poligami dalam rumah tangga menjadi topik hangat di media sosial. Seperti kelazimannya, agak sukar bagi kebanyakan lelaki berpoligami untuk hidup harmoni apabila perkahwinan kedua yang dibina tidak diredai isteri pertama. Namun berbeza pula kisah wanita ini yang hanya ingin dikenali sebagai Sasha, 37, apabila dia sanggup hidup bermadu dengan mencari isteri baharu buat suaminya. Ketika dihubungi, Sasha yang merupakan cinta pertama suaminya menceritakan semula kisah di sebalik video dikongsikan di media sosial yang tular baru-baru ini.
“Setelah 10 tahun berkahwin, kami berdua masih belum dikurniakan zuriat. Sudah bermacam cara kami usahakan untuk dapatkan anak termasuklah rawatan Islam moden. Sebelum ni saya ada lakukan operasi untuk buang cyst dan tiub fallopian menyebabkan saya tak boleh mengandung secara normal. Doktor nasihatkan kalau nak mengandung pun kena melalui kaedah IVF (in vitro fertilisation) saja. Jadi kami ambil ikhtiar terakhir lakukan IVF yang menelan belanja RM15,000 tapi masih tak berjaya. Selepas bermacam usaha dibuat, Allah gerakkan hati untuk perkara lain pula (bermadu),” ujar Sasha.
Bercerita lanjut mengenai rancangan yang pada mulanya dirahsiakan daripada suaminya, Hazreen, Sasha sendiri berkunjung ke rumah madunya untuk merisik. Setelah selesai merisik dan dipersetujui oleh bakal madunya, dia memberitahu perkara tersebut kepada suami bagi membolehkan persiapan nikah dan majlis kahwin dilakukan. “Saya tak cari tapi jodoh datang tanpa dirancang. Saya dan bakal madu masa tu selalu berjumpa dan berhubung melalui WhatsApp sebab kami hidup berjiran. Memang dah anggap dia seperti adik sendiri sebelum ni.
“Saya berseloroh dengan dia nak jadikan madu. Tak sangka gurauan tu menjadi nyata. Selepas kami sama-sama bersetuju barulah saya pergi merisik. Saya pergi cari cincin sendiri untuk meminang dia untuk suami. Semua orang cakap saya gila dah masa ni. Selepas selesai merisik barulah saya beritahu suami. Dia terkejut dan suruh saya serta bakal isterinya fikir masak-masak. Tapi dia terima jika itu dah ketentuan sebab nak galas amanah tu bukan hal kecil,” imbasnya lagi yang merupakan seorang usahawan.
Jelas Sasha, suaminya akhirnya bersetuju untuk berta’ruf (berkenalan) dengan bakal isteri kedua setelah banyak berdoa dan meminta petunjuk daripada Allah. Ketiga-tiga mereka kemudiannya membuat persiapan kahwin dan proses permohonan untuk berpoligami yang diuruskan bersama-sama. Memilih tarikh 28 Jun 2023 sebagai tarikh perkahwinan, Sasha berkata ia merupakan tarikh sama dia berkahwin 10 tahun lalu dan juga sambutan hari lahir suaminya yang ke-39. Bercerita mengenai percintaannya sebelum berumah tangga, suaminya yang bekerja sebagai pegawai masjid kerajaan (pembantu tadbir) tidak pernah berputus asa menawan hatinya sebelum Sasha bersetuju untuk berkahwin.
“Kami berkawan selama tujuh tahun sebelum saya bersetuju dan tertawan hati untuk jadikan dia suami. Perwatakan dia yang ‘sweet talker’ (mulut manis) dan penyabar. Tak pernah sekali pun tinggikan suara pada saya. Dialah satu-satunya lelaki yang boleh terima segala kekurangan dan faham saya selama ni. Saya lalui saja semua ni sebab yakin dengan takdir Allah. Saya berlapang dada tanpa persoalkan kenapa dan mengapa semua ni jadi. Terbaru, kami merancang untuk jalani rawatan IVF lagi sekali untuk tahun depan. Sekarang kami tengah kumpul dana RM30,000 pula. Semoga IVF kali ini berjaya dengan izinNya,” ujarnya yang menetap di Kulai, Johor.
Setelah hantaran dibuat menjadi tular sehingga meraih lebih 500,000 jumlah tontonan, rata-rata warganet memuji ketabahannya yang rela untuk hidup bermadu. Malah, ada juga warganet yang meminta tip dan nasihat daripada Sasha sendiri. “Untuk hidup berpoligami ni bagi saya, kita kenalah faham agama serta mendalami ilmu bermadu supaya kita tak tercuit dengan keadaan sekeliling. Kita kena bertenang dalam jalani ujian barulah kita berfikiran waras dan positif.
“Yang penting kita letak Allah pertama dalam apa jua perkara barulah boleh kecapi bahagia. Kalau berharap pada manusia, kita akan kecewa. Saya sendiri pun sudah empat tahun mendalami ilmu poligami harmoni sebelum ni. Suami saya sampai hari ni tak pernah berhenti baca doa elak fitnah dajjal, sebab takut isteri-isteri tak mampu hadapi pandangan negatif orang ramai,” ujarnya lagi.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.