Baru baru ni tular pasal restoran nasi ayam claypot, peniaga akui tak guna bahan terlarang seperti yang dikatakan oleh warganet

Sejak minggu lalu, tular di media sosial mengenai sebuah premis restoran nasi ayam berasaskan periuk tanah liat yang diusahakan suami isteri Muslim yang didakwa memasukkan arak beras ke dalam masakan mereka. Bahkan, status halal premis makanan berkenaan bertambah sangsi apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pihak mereka tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal. Terbaharu, peniaga nasi ayam claypot tular berkenaan, Ahmad Muzakin Mohd Amir,48,  berani bersumpah dan menjelaskan bahawa pihaknya tidak menggunakan bahan terlarang seperti yang dikatakan oleh warganet di media sosial.

“Sumpah demi Allah SWT, saya tidak menggunakan bahan terlarang seperti ditularkan warganet. Ini maruah saya dan sebagai umat Islam, saya bertanggungjawab serta ikhlas berniaga untuk rezeki halal keluarga saya,”ujarnya. Memetik laporan Harian Metro, bapa kepada tiga orang anak itu mengakui premis perniagaannnya tidak memiliki sijil Halal selain mendedahkan pihak Jakim pernah datang membuat pemeriksaan status halal sebelum ini. Bahkan, Ahmad Muzakin yakin minyak bijan yang digunakan olehnya tidak mengandungi bahan terlarang meskipun pengeluar kilang tidak mempunyai sijil halal.

“Saya mengaku premis saya memang tiada sijil halal daripada Jakim tetapi banyak kedai Muslim lain juga tiada sijil sama. Saya anggap ia bukan satu masalah besar kerana saya adalah Muslim dan saya tahu tanggungjawab, malah tidak akan menyorokkan bahan digunakan. Dua botol itu adalah minyak bijan dan apabila guna dua botol secara terus, saya akan dapat titisan minyak berganda tanpa banyak kali menuangnya cuma saya akui kilang (pengeluar minyak bijan) itu tiada sijil halal tetapi bahannya diyakini tiada yang terlarang.

“Kalau kata saya memasukkan bahan terlarang dalam botol minyak bijan itu tidak masuk akal kerana kami tidak pernah membuka penutup itu hanya tebuk lubang dan plastik penutup juga masih rapi, jadi macam mana saya masukkan bahan itu. Bekalan ayam yang kami gunakan juga daripada sumber yang halal,” katanya lagi. Meskipun sedih dan terkilan dituduh oleh segelintir pihak, Ahmad Muzakin tetap memaafkan mereka dengan menganggap setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan termasuklah dirinya.

Tambah Ahmad Muzakin, mereka kini sedang mengikuti kursus bagi membuat permohonan sijil halal kepada Jakim pada Khamis ini selain menyatakan mempunyai lesen perniagaan yang sah. Dia turut tidak malu mengaku berketerunan dari Indonesia, manakala isterinya berasal dari Surabaya. “Apabila sudah tular dan terkenal seperti ini saya sudah cakap dengan isteri (Rotiya Ropai, 49) nanti mesti akan ada fitnah dan ia memang betul berlaku tetapi saya tidak sedih atau takut hilang pelanggan kerana rezeki Allah yang bagi.

“Macam-macam orang cakap tentang kami hingga mengaitkan asal usul kami. Saya orang Malaysia dan pemegang kad pengenalan biru tetapi saya tidak malu mengaku keturunan saya dari Indonesia dan isteri pula memang asal Surabaya. Saya tidak marah dan bersedia menjawab semua soalan pelanggan kerana saya ikhlas berniaga dan bertanggungjawab dengan perniagaan saya. Apa saja pelanggan mahu kepastian boleh tanya saya terus dan saya akan jawab jujur,” katanya lagi. Sumber: Omm.

PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version