HANGAT di media sosial ketika ini perdebatan warga maya mengenai isu wanita zaman moden yang didakwa kurang mempunyai kemahiran sebagai seorang isteri. Isu ini timbul selepas tular satu rakaman daripada rancangan Wanita Hari Ini (WHI) yang memaparkan dua orang pengacara program itu sedang menyiang ikan ketika bersiaran langsung. Video itu mendapat perhatian apabila ada warganet mengkritik pengacara berkenaan kerana kekok menyiang ikan malah mendakwa mereka mungkin tidak pandai memasak.
Di tengah-tengah kritikan ramai, seorang wanita tampil mengutarakan pandangannya untuk membuka mata orang ramai agar tidak mudah menjatuhkan hukuman hanya kerana seorang wanita tidak pandai menyiang ikan. Menerusi satu hantaran di Facebook, wanita bernama Normaliza Mahadi itu berpendapat, isu menyiang ikan atau tugasan yang biasa sinonim dengan seorang isteri sewajarnya dipandang dalam konteks yang lebih luas, terutama pada zaman ini di mana semua perkara boleh didapati dengan mudah dan pantas.
“Dah tiga hari anak lelaki saya kahwin. Saya pun tak tahu menantu ni boleh ke siang ikan ke tidak. Boleh ke masak. Pandai ke lipat kain. Boleh ke kemas rumah. Boleh ke jaga makan minum anak saya. Atau boleh ke jaga anak-anak nanti. Siang ikan? Kami di rumah ni tak pernah siang ikan. Semua ikan bawa balik rumah dah bersiang. Kadang dah siap masak pun ikan tu. Jadi kemahiran siang ikan ni bukan kritikal. Masak? Menantu saya ni bekerja macam anak saya juga. Malah kerja lebih jauh dari rumah. Anak saya kerja dekat. Lagi sesuai anak lelaki saya yang masak. Atau anak saya beli lauk simple di luar dan masak nasi di rumah sementara tunggu isterinya balik kerja.
“Takkan nak tunggu menantu saya balik masak. Dah la kerja jauh. Kalau tak sempat juga, orderlah Lalamove. Weekend nanti masaklah penuh satu meja sama-sama. Kan?” luahnya berkongsi pandangan. Begitu juga dengan kerja rumah lain yang tidak semestinya dibebankan hanya di atas bahu seorang isteri, ujarnya. Tambah wanita ini lagi, sesebuah rumah tangga bukan hanya melibatkan kasih sayang semata-mata sebaliknya perlu mempunyai elemen toleransi serta kerjasama. Kemas rumah? Buatlah sama-sama bila ada masa. Sementara tak ada anak ni, apa sangatlah nak kemas. Esok ada anak kecil nanti kalau ada rezeki, ayahnya kemas rumah. Maknya uruskan anak. Tak ada apa yang susah.
“Jaga makan minum anak saya? Uwais ni dah besar. Jagalah makan minum sendiri. Isterinya membantu. Habis tu menantu perempuan buat apa? Eh! Dia pergi kerja. Bantu suami dalam hal yang mungkin suami tak berapa mampu. Jaga dirinya di tempat kerja. Solat. Menghormati suaminya. Membawa diri sebagai isteri dengan baik. Menguruskan rumah tangga dalam hal lain yang suaminya tak boleh buat. Dan membuat perancangan kewangan, simpanan, sedekah dan lain-lain lagi. Besar peranannya tu,” katanya lagi.
Posting tersebut meraih 11,000 perkongsian di Facebook selain dibanjiri ratusan komen warganet yang turut bersetuju dengan pandangannya. “Exactly puan… tak de isu pun pasal siang ikan tu sepatutnya tapi masih ramai memilih untuk berkata macam-macam. Banyak hal lagi hidup kita ni selain daripada makan. “Ibu mentua yang ‘open minded’ (minda terbuka), ilmu semua ada, tak ‘bias’ (berat sebelah). “Panduan yang baik untuk pasangan yang baru berkahwin dan dah lama berkahwin,” demikian antara komen warganet.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.