PERSONALITI media sosial Ryzal Ibrahim tidak ambil hati dengan kritikan warganet meskipun sedang berusaha untuk menyebarkan dakwah dan keindahan agama Islam. Dalam hal ini, Ryzal atau Nik Muhammad Ryzal Ibrahim, 32, berkata dia enggan terlalu cepat melatah sedangkan Nabi Muhammad SAW menerima ujian lebih teruk daripada itu. “Sebab Allah nak bagi saya sabar lebih kot… Nabi Muhammad SAW pun buat dakwah dulu dapat kecaman bukan pujian. Kejian, kecaman dan macam-macamlah orang bagi kepada baginda bila nak memulakan dakwah.
“Jadi saya anggap perkara itu sebagai ujian untuk saya yang sedang cuba menyebarkan keunikan Islam. Bila kita nak sebarkan perkara baik ada yang boleh terima ada yang tidak tapi jangan sampai melontarkan kata-kata tak sepatutnya kerana Islam itu mudah,” katanya ketika dihubungi. Ryzal berkata demikian setelah dia dituduh memasuki sebuah gereja yang sebenarnya merupakan sebuah institut ilmu tamadun Islam di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Kuala Lumpur.
Menjawab tuduhan berkenaan, Ryzal berpendapat masyarakat Malaysia perlu lebih banyak membaca dan mengkaji sebelum memberikan pandangan mereka. Malah suami kepada personaliti Maryam Younarae itu memohon agar netizen menonton video dikongsi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan. “Saya faham bangsa kita ni malas membaca, tengok video tiga saat terus judge kata ini gereja. Padahal kalau kita rajin membaca atau mengkaji akan tahu apakah tempat itu.
“Lagipun bukan saya nak pergi beribadat di gereja tu, pada saya masyarakat perlu buka mata lihat secara positif, takkanlah saya yang tengah gerakkan kempen Geng Subuh Macam Jumaat bersama Alif Satar nak pergi gereja dan buat ibadah dalam tu. Saya tengah meneroka dan menjelajah masjid, jadi saya tak rasa ia jadi masalah selagi tak timbulkan fitnah, saya rasa pemikiran masyarakat perlu diubah dan mereka perlu banyak menjelajah ke membaca atau bila tengok video dengar sampai habis,” ujarnya.
Untuk info, bangunan dan hiasan dalaman ISTAC diinspirasikan daripada seni bina Andalusia-Maghribi. Seni bina ini dipilih sebagai kenangan dan inspirasi kegemilangan umat Islam di Sepanyol suatu ketika dahulu. Institut berkenaan didirikan oleh Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.