Kentut adalah perkara biasa tetapi ada beberapa jenis makanan yang menyebabkan seseorang lebih kerap kentut. Manusia mana yang tidak pernah kentut dan ia adalah lumrah namun perbuatan itu sering dianggap tidak sopan apatah lagi jika dilakukan di hadapan orang lain dan mengeluarkan bau busuk. Tahukah anda, faktor pemakanan juga menjadi penyebab seseorang itu lebih kerap kentut. Kentut atau dalam bahasa perubatan ‘flatulensi’ merupakan keadaan di mana seseorang mengeluarkan gas melalui anus disebabkan akumulasi gas di dalam perut. Ia adalah proses semulajadi tubuh yang boleh berlaku beberapa kali dalam sehari. Frekuensi kentut akan semakin meningkat jika seseorang itu mengambil makanan tertentu terutamanya yang mengandungi gas. Berikut adalah lima jenis makanan yang boleh menyebabkan seseorang itu kentut dengan lebih kerap.
Sayuran daripada keluarga cruciferous seperti brokoli, kobis dan kobis bunga tinggi dengan kandungan serat. Sayur-sayuran ini sangat baik untuk tubuh namun boleh memicu rasa ingin kentut kerana serat tidak dapat dicerna oleh tubuh. Majoriti bakteria di saluran pencernaan manusia hidup di bahagian usus besar. Bakteria memiliki keupayaan untuk memanfaatkan serat untuk tenaga tetapi turut menghasilkan gas. Kacang hijau, kacang tanah dan pelbagai jenis kekacang yang lain boleh menghasilkan gas kerana ia mengandungi raffinose atau gula kompleks yang sukar dicerna oleh tubuh. Raffinose akan masuk ke dalam usus besar di mana bakteria akan memecahkannya dan menghasilkan hidrogen, karbon dioksida dan gas metana melalui kentut.
Meskipun tidak memiliki intoleransi laktosa, pengambilan susu mahupun produk tenusu akan membuatkan seseorang kentut. Keadaan itu berlaku disebabkan penghasilan gas melalui kandungan gula dalam susu. Seiring dengan pertambahan usia, seseorang lebih cenderung menghasilkan lebih sedikit enzim laktase yang membantu memecahkan laktosa atau gula dalam susu. Ketika ia tidak dicerna, laktosa boleh menyebabkan penghasilan gas. Buah juga boleh memicu penghasilan gas dan kentut. Buah yang mengandungi fruktosa, sorbitol dan serat larut air biasanya akan menyebabkan gas. Antara buah-buahan yang menghasilkan lebih banyak gas adalah epal, mangga, limau, pir, tembikai dan sebagainya.Label sugar free sering menjadi pilihan kerana dikatakan lebih menyihatkan namun sebenarnya produk bebas gula ini boleh menyebabkan seseorang lebih kerap kentut. Produk bebas gula biasanya menggantikan gula dengan pemanis buatan seperti sorbitol, erythritol dan xylitol. Pemanis buatan tidak mampu diserap oleh usus. Sumber: mstar.
Banyak Angin Dalam Badan Menyebabkan Anda Kerap Kentut Dan Sendawa Sebab, Cuba 6 Perkara Ini
Tahukah anda, gas dalam badan perlu dan boleh dikeluarkan melalui 2 cara iaitu dengan kentut (lubang dubur) atau sendawa (salur kerongkong). Jika ia tidak berjaya dikeluarkan dari tubuh badan, maka anda akan berasa tidak selesa terutamanya pada perut ekoran gas atau angin tersebut terperangkap di situ. Persoalannya, bagaimana pula jika angin dalam badan ini terkeluar dengan banyaknya sehingga anda kerap kentut dan sendawa? Jom teruskan membaca artikel!
Pengeluaran angin dalam badan ini adalah normal dan setiap manusia akan mengalaminya walaupun ia sering kali dijadikan sebagai bahan jenaka kita semua. Hakikatnya, manusia yang normal akan kentut atau sendawa sekurang-kurangnya 15 ke 23 kali dalam masa sehari meskipun kadangkala anda tidak menyedarinya. Apa yang akan menjadi masalah sebenarnya adalah apabila pengeluaran gas dalam badan ini terlalu rendah atau tinggi daripada kadar yang dinyatakan di atas tadi. Pakar Gastroenterology, Dr Christine Lee ada menyatakan bahawa jika amaun gas dalam badan ini membuat anda berasa tidak selesa, sila segera berjumpa dengan doktor. Tambahnya, anda tidak perlu berasa malu atau takut jika bunyi dan bau daripada angin dalam badan yang keluar itu sedikit tidak menyenangkan kerana ia tentu sekali normal.
Ada beberapa perkara yang akan menyebabkan masalah ini termasuklah udara masuk dengan banyak ketika sedang minum, makan atau ketawa secara berlebihan. Kemudian, udara berlebihan tersebut akan menyebabkan pergerakan dalam usus menjadi perlahan lantas membawa kepada masalah pengumpulan bakteria. Kesannya, anda akan berasa tidak selesa pada perut lebih-lebih lagi jika anda ada masalah berkaitan sistem metabolisme yang berfungsi dengan terlalu perlahan. Ia akan jadi lebih teruk lagi jika anda ada kondisi kesihatan seperti diabetes, tiroid, scleroderma, diverticulosis, sindrom radang usus bawah serta gangguan tidur. Dalam beberapa kes, gangguan tidur apnea juga boleh menyumbang kepada masalah lambakan gas dalam badan yang menjadi punca perut kembung. Ini adalah sangat penting kerana kajian menunjukkan bahawa 25% lelaki dan 10% wanita didapati tidur dengan mulut yang terbuka luas dan angin mudah masuk. Dalam pada itu, diketahui juga bahawa individu dengan gangguan tidur apnea ini cenderung menghirup lebih banyak udara ketika sedang menelan atau berdengkur. Disebabkan itu, mereka yang termasuk dalam golongan ini akan lebih cenderung untuk kentut dan sendawa lebih banyak berbanding mereka yang tidak bermasalah.
Sekiranya anda merasakan gas dalam badan terlalu banyak sehingga membuat anda kentut dan sendawa terlalu kerap, jangan hanya biarkan perkara ini berlarutan. Dr Christine Lee telah sertakan beberapa tip yang kalian perlu lakukan untuk melawannya: Tip kurangkan gas dalam badan. Hipotesisnya, lebih banyak anda bersenam, lebih kerap anda akan menyingkirkan angin dalam badan yang perlu dikeluarkan untuk elak kembung perut. Sila fokuskan kepada senaman menguatkan otot perut dan abdomen bagi memastikan pergerakan usus yang lebih lancar agar gas tidak terperangkap di situ. Kurangkan pengambilan sayuran bergas, sayuran seperti kubis, kubis bunga, brokoli, asparagus dan pucuk brussels mungkin tinggi nutrisi, namun juga tinggi gas yang mungkin tidak bagus untuk usus anda. Elakkan produk tenusu jika ada intoleransi laktosa, jika anda mengalami intoleransi laktosa dan ingin mengambil susu, keju atau yogurt, sila ambil ubatan bagi masalah ini terlebih dahulu untuk sistem penghadaman. Rawat kondisi sembelit Sembelit akan menyebabkan pergerakan usus menjadi lebih perlahan lantas memburukkan lagi masalah gas dalam badan berlebihan. Sila rawat kondisi ini segera.
Awasi ubatan yang diambil oleh anda Ada sesetengah ubat seperti ubatan anti alahan, ubatan darah tinggi dan lain-lain juga boleh menyebabkan pergerakan usus menjadi lebih perlahan daripada biasa. Hadkan minuman berkarbonat & makanan ditapai. Ada beberapa minuman dan makanan seperti soda dan tapai yang boleh memerangkap gas dalam badan lantas membuat bakteria terkumpul di dalam usus. Oleh itu, sila ambil peduli akan perkara-perkara yang telah kami nyatakan di atas tadi bagi memastikan angin dalam badan tidak terlalu banyak berbanding biasa. Konklusinya, kentut dan sendawa untuk mengeluarkan angin dalam badan itu adalah normal, selagi ia tidak terlalu banyak atau sedikit yang boleh membawa kepada masalah lain. Sekiranya anda mempunyai sebarang masalah mengenai perkara ini, sila berkomunikasi dan berkonsultasi dengan doktor untuk mengelakkan ia menjadi lebih teruk. Sumber: HelloDoktor.