Halim sah bergelar suami kepada Husna dengan sekali lafaz. Pasangan pelakon Halim Radzi dan Sharifah Husna selamat bergelar suami-isteri dalam sebuah majlis yang berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Kajang, Selangor pada Jumaat. Halim atau Abdul Halim Radzi Sapari, 26, berkata, dia dinikahkan sendiri oleh bapa Husna iaitu Syed Feizal Syed Mohd dengan sekali lafaz. Katanya, pengalaman dinikahkan oleh bapa mentuanya sendiri sangat mendebarkan namun lega apabila majlis yang dirancang berjalan lancar.
Halim sebak saat dinikahkan oleh bapa Husna.
Katanya lagi “Mulanya ikut perancangan akan dinikahkan oleh jurunikah, namun akhirnya bapa Husna sendiri yang ambil tugas itu. Memang saya sangat gementar. Itu adalah momen tidak boleh saya lupakan sehingga mengalirkan air mata. “Syukur segalanya berjalan lancar. Rasa macam mimpi apabila kami sudah pun sah bergelar suami isteri,” katanya kepada mStar. Pada majlis tersebut Halim memberitahu menyerahkan seutas gelang emas sebagai mas kahwin serta lima dulang hantara yang dibalas tujuh daripada pihak Husna.
Majlis akad nikah itu diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan teman rapat. Sementara itu, Halim menjelaskan mereka tidak menghebahkan tentang majlis itu kerana bimbang apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan. “Bagi saya sudah tiba masanya kami bernikah, tak elok bercinta lama-lama, jadi kami dahulukan perkara yang wajib.
Syukur segalanya berjalan lancar. Rasa macam mimpi apabila kami sudah pun sah bergelar suami isteri
Terangnya lagi “Selama ini saya memang jarang bercerita dengan orang soal perkahwinan sebab takut apa kami rancang tak menjadi. “Alhamdulillah, sekarang ini kami akan fokus pula kepada rumah tangga dan berharap ikatan ini akan membawa keberkatan kepada saya dan Husna,” ujarnya. Tambah Halim, mereka akan diraikan dalam sebuah majlis kenduri di sebuah hotel di Putrajaya pada 30 Oktober ini.
Pasangan ini berharap akan dimurahkan rezeki selepas berkahwin.
Pasangan ini juga belum merancang tarikh dan destinasi bulan madu memandangkan kedua-duanya terikat dengan jadual penggambaran. “Jadual penggambaran sudah dirancang lebih awal, memang tak boleh nak mengelak. Jadi kami belum ada perancangan untuk berbulan madu. “Seperti pasangan lain, kami berharap perkahwinan ini kekal sehingga ke syurga. Semoga kami lebih memahami antara satu sama lain. “Orang kata, rezeki selepas berkahwin makin bertambah, kami mahu saksikan keajaiban itu,” katanya yang turut tidak menolak digandingkan dengan isteri dalam drama selepas ini. Sumber, mstar