Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah kecewa apabila Konsert Canggung Jamal Abdillah yang dijadualkan berlangsung di Dewan 2020, Kangar Perlis pada 29 Oktober ini terpaksa ditunda. Kata Jamal, beliau akur setelah menilai sebab ditunda, namun berharap konsert berkenaan akan diteruskan apabila penganjur mendapat tarikh yang lebih sesuai.
“Memang menggusarkan, tetapi saya masih berharap konsert tersebut dapat dilaksanakan juga nanti. Saya kena ambil kira situasi semasa yang mana kita bakal berdepan pilihan raya, selain faktor cuaca yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Gemilang Datuk Jamal Abdillah bersama UTM Holdings Sdn. Bhd.
Mengulas tentang persiapan, Jamal memaklumkan, beliau dan artis undangan sudah mula membuat persediaan untuk persembahan tersebut. “Saya sebenarnya sudah bersedia untuk menyanyi di konsert itu. Tambahan pula, saya merancang untuk berduet dengan lima penyanyi, termasuk Wany Hasrita, Khai Bahar, Amelina dan Aweera. Tumpuan dan fokus saya memang terhadap konsert tersebut. Memandangkan ia telah ditunda, saya terpaksa akur,” ujarnya.
Sementara itu, penganjur Zeel Productions Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan media memaklumkan, Konsert Canggung Jamal Abdillah itu ditangguhkan sehingga Disember depan atau pertengahan Januari 2023 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15). Mengikut perancangan, konsert itu menggabungkan irama Malaysia dan pop. Kekecewaan penyanyi lagu Azura itu bagaimanapun, sedikit terubat apabila bakal muncul dengan Konsert Gemilang Dato’ Jamal Abdillah pada 9 Disember depan di Grand Banquet Hall, Residensi UTMKL, Kuala Lumpur. Lebih menarik, konsert tersebut turut menyaksikan Raja Pop itu bergandingan dengan dua anak lelakinya, Zaki Yamani dan Osama Yamani. Menurut Jamal, dia akan menyampaikan 15 lagu, termasuk sebuah lagu baharu, duet bersama anak-anaknya berjudul Tangan Yang Melambai. Sumber, Awattsyeikh.com