Siapa tak kenal dengan penyanyi popular negara jiran ini. Chakra Khan datang Malaysia semata-mata untuk menyaksikan konsert Rossa. Penyanyi Datuk Seri Rossa meluahkan rasa terkejut dan terharu menerima kejutan rakan artis dari Indonesia iaitu Chakra Khan yang sanggup datang ke Kuala Lumpur semata-mata menyaksikan Konsert Rossa 25th Shinning Years yang berlangsung di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Rabu.
Bukan hanya Chakra, malah beberapa selebriti tempatan seperti Datuk Amy Search, Shiha Zikir, Puteri Sarah Liyana Tya Ariffin juga antara yang hadir pada malam berkenaan. “Saya memang terkejut kerana tidak tahu dia (Chakra) akan datang. Apabila membaca senarai nama tetamu di monitor saya melihat ada namanya.
Baju yang ditempah oleh Rossa bagi meraikan 25 tahun sebagai penyanyi
Luahnya lagi “Kami tidak berjumpa sebelum konsert berlangsung dan dia maklumkan akan terus pulang ke Indonesia pada awal pagi Khamis. Dia sangat baik kerana hadir untuk memberi sokongan. “Alhamdulillah… saya juga rasa disayangi apabila ramai rakan artis Malaysia yang datang. Semoga saya juga dapat melakukan perkara sama buat mereka nanti,” katanya.
Bercakap tentang konsert tersebut, selain persembahan bertenaga dan memukau, busana digayakan pada segmen pembukaan juga mencuri tumpuan ramai kerana ia merupakan rekaan pereka fesyen terkenal, Iris Ven Herpen berharga RM235,000. Menurutnya dia sanggup berbelanja besar sebagai satu kenangan sempena 25 tahun penglibatan dalam dunia seni.
Katanya lagi, “Baju itu memang berat. Saya sanggup beli kerana mahu memperingati sempena 25 tahun sebagai penyanyi. Mungkin sebelum ini pernah bekerjasama dengan pereka fesyen dari Indonesia, Singapura dan Malaysia. Kali ini saya mahu beri kelainan. “Bukan mudah untuk mendapatkan khidmat Iris. Dia akan teliti dahulu profil seseorang artis dan melihat tujuan ia dipakai. Baju tersebut dibuat dalam tempoh 400 jam,” ceritanya.
Alhamdulillah, saya juga rasa disayangi apabila ramai rakan artis Malaysia yang datang
Pada malam tersebut, selain menyanyikan lagu-lagu popular seperti Tega, Hati Yang Kau Sakiti, Hati Yang Tersakiti dan Perawan Cinta. Rossa turut mendendangkan karya-karya legenda tempatan iaitu Janji Manismu (Datuk Aishah), Suci Dalam Debu (Iklim), Cinta Kita (Search), Bukan Cinta Biasa (Datuk Seri Siti Nurhaliza) serta Antara Anyer Dan Jakarta (Datuk Shiela Majid).
Sementara itu Rossa memberi kelainan pada segmen terakhir konsert tersebut dengan memuatkan elemen muzik EDM menerusi lagu Pudar, Sakura dan Hey Ladies. Penyanyi Judika dan Hael Husaini turut sama tampil membuat persembahan duet pada malam tersebut.
Rossa gembira dapat menghiburkan peminat Malaysia.
Katanya lagi “Sebenarnya banyak lagu-lagu yang saya nyanyikan adalah idea dari rakan-rakan media Malaysia ketika sesi sidang media sebelum ini. Saya juga menyampaikan lagu-lagu yang baru dilancarkan dan belum pernah dinyanyikan di Malaysia. “Konsep EDM kali ini belum pernah saya bawakan. Jadi itu yang membezakan antara konsert kali ini dengan beberapa persembahan lain di Indonesia,” ujarnya.
Secara keseluruhan konsert yang dibawakan oleh Yayasan Prihatin Nasional ini sangat menghiburkan dan berjaya mengubati peminat Rossa di Malaysia. Bukan hanya bertenaga dalam nyanyian, Rossa juga bijak berkomunikasi dengan penonton menerusi cerita-cerita yang ingin disampaikan pada setiap lagu. Sumber, mstar