PENYANYI Siti Nordiana mengakui kemelut membabitkan dirinya dengan lima sekawan yang berlaku sejak tahun 2021 telah memberikan kesan terhadap mentalnya. Enggan emosinya terus terganggu, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, 39, berkata dia memilih mendekatkan diri dengan Allah SWT dan lebih kerap mengunjungi masjid bagi mencari ketenangan. “Saya akui memang terkesan dengan apa yang diperlakukan. Jadi, saya dekatkan diri kepada Allah. Sebelum ini bukan tidak pernah pergi ke masjid, pergi sahaja. Tapi selepas kejadian, saya lebih kerap (kunjungi masjid).
“Ini kerana dalam masjid itu sendiri memberi ketenangan,” katanya kepada pemberita. Nana berkata demikian ketika ditemui semasa perbicaraan kes tuntutan saman fitnah terhadap lima individu termasuk penyanyi, Lan Solo dan Syura di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis. Ditanya adakah dia bertemu dengan pakar bagi mengatasi gangguan emosi dialami, Nana berkata dia belum terfikir untuk merujuk masalah itu kepada mana-mana pihak. “Tidak sampai ke situ. Kita dekatkan diri dulu dengan yang Maha Esa kerana dugaan ini juga daripada-Nya.
Jadi saya lebih menggunakan pendekatan itu terlebih dahulu,” ujarnya. Dalam prosiding yang berlangsung, saksi kedua yang juga pengurus kepada Siti Nordiana selaku plaintif iaitu Mohammad Al Anas Osman, 39, berkata kontroversi itu membuatkan kontrak iklan komersial dibatalkan serta dua lagi tidak disambung sebagai duta produk. Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili defendan pertama, kedua dan ketiga, Mohammad Al Anas mengakui surat pembatalan kontrak diterima selepas Siti Nordiana selaku plaintif memfailkan saman terhadap lima defendan itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim John Lee Kien How @ Mohd Johan itu bersambung pada 30 Oktober ini. Isu membabitkan Nana dengan lima sekawan bermula apabila selebriti tersebut memfailkan saman berjumlah RM2.5 juta pada 3 Ogos 2021. Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021 di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, dengan menamakan Lan Solo, 36, serta isterinya Nur Sheila dan Syura, 35, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga. Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad, 42.
Untuk rekod, kontroversi ini tercetus selepas penyanyi Lan Solo dan Syura membuat pendedahan mengejutkan berkaitan konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana menerusi sesi Instagram live pada 20 Julai 2021. Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman penyanyi itu untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.