Tahukah anda akan kehilangan banyak cecair sewaktu berpuasa lebih kurang 12 jam. Oleh itu kita selalu berasa dahaga dan dehidrasi pada waktu siang. Namun akibat terlalu haus, kita akan meneguk air dengan lebih banyak selepas berbuka sehinggakan kembung perut dan berasa tidak selesa. Penyelesaiannya adalah, anda perlu mengambil buah yang tinggi kandungan airnya sewaktu berbuka supaya tindakan minum air sehingga kembung perut tidak berlaku. Berikut lima buah yang sesuai untuk dimakan yang mampu mencegah kembung perut sekali gus menambah cecair dalam badan:
Tembikai
Di majlis kenduri-kendara, sehinggalah menjadi juadah berbuka puasa tembikai sangat digemari oleh rakyat Malaysia. Isi tembikai yang kemerahan ini menarik perhatian dan paling sesuai untuk dijadikan pembuka selera sewaktu berbuka. Kemanisannya juga membuatkan anda tidak akan berhenti menikmatinya. Tembikai lebih nikmat dan segar dimakan dalam keadaan yang sejuk. Buah ini juga mengandungi 92 peratus air yang mampu menghilangkan dahaga selepas seharian berpuasa. Tetapi, harus diingatkan bahawa pengambilan tembikai terlalu banyak boleh menyebabkan anda muntah kerana buah ini merupakan makanan yang boleh menyumbangkan kepada masalah ‘angin’.
Strawberi
Tidak dinafikan strawberi adalah buah yang menjadi kegemaran setiap kanak-kanak kerana rasanya yang masam dan manis. Saiznya yang kecil comel dan warna merah yang terang mampu meningkatkan mood si kecil. Dengan kadar 92 peratus air, strawberi menjadi pilihan yang tepat untuk berbuka puasa. Pengambilan buah ini ketika waktu berbuka mampu mencegah hipohidrasi sekali gus masalah kembung perut. Nikmatilah strawberi dalam keadaan sejuk untuk kesedapan luar biasa. Anda juga boleh cuba membuat smoothie atau salad buah untuk mempelbagaikan cadangan hidangan.
Belimbing
Buah tempatan yang memiliki rasa masam, manis dan segar ini mengandungi 91 peratus air. Buah ini mampu menambah kandungan air dalam badan dan tidak mengembungkan perut anda. Buah belimbing sangat kaya dengan vitamin C dan rendah kalori. Disebabkan rendah kalori juga, buah ini sesuai untuk dimakan oleh orang yang sedang diet. Bukan itu sahaja, buah berbentuk bintang ini mampu mengawal tekanan darah dan menurunkan paras kolestrol dalam darah. Belimbing juga dapat dinikmati semasa berbuka puasa atau dibuat jus.
Timun
Selain empat buah yang dinyatakan di atas, timun juga mempunyai kandungan air yang tinggi. Mempunyai aroma segar, ia juga rendah kalori. Walaupun rasanya tawar, namun jika dimakan ketika berbuka ia mampu mencegah kembung perut. Kebiasaannya, timun dibuat ulam atau dibuat jus. Untuk rasa yang lebih sedap, campur jus timun ini dengan sirap melon dan juga selasih. Anda juga akan berasa segar untuk menjalani tarawih. Timun juga mampu membuatkan proses pencernaan lebih baik. Jadi, bagi sesiapa yang mempunyai sembelit, timun adalah cadangan yang bagus untuk anda.
Tembikai susu
Sewaktu bulan puasa, air tembikai susu ini sering menjadi rebutan selain air tebu dan air tembikai. Tembikai susu yang rupanya seakan buah labu juga antara buah yang tinggi kandungan airnya. Ia mampu menggantikan cecair dalam badan untuk mencegah kembung perut. Buah ini kaya dengan vitamin A dan C yang sangat bermanfaat untuk kesihatan kulit. Tembikai susu memiliki rasa yang kurang manis atau mungkin tawar, jadi cadangan hidangan buah ini adalah mencampur dengan air buah atau dicampurkan dengan susu cair dan koktail buah sebagai pencuci mulut. Disebabkan rasanya yang tawar, buah ini mampu membantu menurunkan berat badan. Sesuai buat sesiapa yang inginkan badan ideal semasa raya nanti. Sumber, mstar