Serik dengan soalan pasal jodoh setiap kali raya, ini tips untuk elak soalan sensitif dengan penuh gaya

Setiap kali tiba hari raya, golongan bujang pasti akan dapat pertanyaan mengenai jodoh. Setelah dua tahun terlepas daripada pertanyaan tentang soal jodoh dan perkahwinan, nampaknya golongan single kena bersiap-siaga pada Aidilfitri kali ini. Bagi sesetengah orang pertanyaan daripada datuk, nenek, ibu saudara, nenek saudara dan kenalan itu boleh menjadi perkara sensitif terutamanya bagi yang sudah melepasi usia 30 tahun.

Ada pula yang akan terguris hati apabila ditanya mengenai perkahwinan apatah lagi mereka yang pernah kecundangan dalam perhubungan sebelum ini. Tetapi pertanyaan yang diajukan saudara-mara itu sebenarnya lebih bersifat ‘pembuka bicara’ bagi mewujudkan kemesraan selepas sudah lama tidak bersua muka akibat pandemik. Harus diingat, bukan semua saudara-mara mengikuti anda di laman sosial terutamanya golongan yang sudah berusia. Jadi kesempatan ini mereka ingin bertanya perkembangan terbaharu sambil bertanya soalan-soalan ‘nakal’ yang tiada maksud tertentu.

Jadi janganlah bersikap biadab dengan memberikan balasan jawapan mengguris hati apatah lagi kepada orang yang lebih tua daripada kita. Berikut adalah beberapa cara untuk menjawab soalan usikan daripada saudara-mara pada hari raya nanti.

Tetapkan had

Cara terbaik untuk membalas pertanyaan sensitif adalah menjawab dengan serius tetapi dalam nada yang sopan agar tidak bersikap kurang ajar dan tidak menghormati orang lebih tua. Tanam dalam fikiran bahawa soalan itu ditanya kerana mereka ingin mencari topik perbualan apatah lagi selepas sudah lama tidak bersua muka. Anda juga boleh menghadkan jawapan agar tiada soalan susulan yang mungkin boleh menyebabkan kesabaran anda menipis.

Jawapan samar-samar

Kebiasaannya individu yang dalam fasa bertunang atau sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga turut diganggu dengan pertanyaan-pertanyaan berkaitan namun itu bukan bererti seseorang perlu bersikap biadap sekiranya tidak menyukai pertanyaan diajukan. Apabila pertanyaan itu lebih peribadi dan spesifik terhadap sesuatu seperti mengarahkan anda menetapkan tarikh, memilih tema perkahwinan dan sebagainya, selok-eloknya beritahu dengan sopan jawapan anda. Sekiranya masih belum ada keputusan dibuat, anggap apa diberitahu itu sebagai cadangan. Mana tahu ia mungkin berguna?

Balas dengan gurauan

Membalas dengan gurauan merupakan salah satu cara melepaskan diri daripada menjawab soalan-soalan berkaitan jodoh dan perkahwinan daripada saudara-mara. Cara ini juga mampu membuatkan si penyoal lupa akan pertanyaannya dan segera berubah ke topik lain. Sebagai contoh, apabila si penyoal sedang bertanya isu perkahwinan anda boleh menyatakan bahawa diri anda ‘tidak laku’ dengan gelak ketawa yang akan memeriahkan keadaan.

Balas dengan soalan peribadi

Jika semua tiga perkara di atas sudah dilakukan dan anda masih terjerat dalam perbualan tersebut, cuba balas kembali pertanyaan bersifat peribadi kepada si penyoal. Ia akan membuatkan mereka terlupa tentang soalan tersebut dan fokus untuk menjawab soalan anda. Walaupun pertanyaan tentang dua perkara itu sensitif tetapi cubalah jawab dalam nada yang lembut apatah lagi jika ia ditanya oleh golongan lebih tua. Biasanya mereka cuma hanya mahu mengajak berborak setelah sekian lama tidak berjumpa. Sumber, Mstar