Memang tak asing lagi kita dengan wanita ini. Pelakon jelita Indonesia, Laudya Cynthia Bella, 34, membuat kejutan buat peminatnya apabila dia mengumumkan mahu bersara dari bidang lakonan. Laudya berkata, dia sebenarnya sudah lama berniat untuk meninggalkan bidang lakonan dan karier dalam dunia seni kerana mahu memberi tumpuan kepada impian kehidupannya. “Mohon doakan saya. Insya-Allah tiada filem lagi (berhenti berlakon). Semoga istiqamah. Kali terakhir saya berlakon menerusi filem Buya Hamka (2021). “Saya sudah lama memasang niat untuk bersara, tapi manusia itu lemah. Semoga saya dibantu Allah SWT,” katanya memetik laporan media Indonesia.
Laudya berkata, sudah tiba masa juga dia ‘angkat kaki’ sebagai pelakon kerana mahu berjaya di dunia dan akhirat. Katanya, masih banyak yang ingin dipelajari selepas ini. “Saya mohon bantu doakan segalanya dipermudahkan Allah SWT. Doakan juga saya beroleh kejayaan hidup di dunia dan akhirat,” katanya. Terdahulu, Laudya menjadi perhatian netizen Indonesia di media sosial terutama TikTok apabila dia didakwa sudah bernikah dengan seorang pemuda kacak dari Dubai, baru-baru ini.
Berita perkahwinan yang tular itu bagaimanapun dinafikan pengurusnya, Rita menerusi kenyataan dikeluarkan dan meminta orang ramai tidak menyebarkan berita berunsur fitnah terhadap Laudya. Namun, pelakon filem Di Bawah Lindungan Kaabah dan Syurga Yang Tak Dirindukan itu juga difahamkan kini sudah menetap di Dubai dan menjalani kehidupan lebih tenang tanpa ‘spotlight’ populariti di sana.
Sebelum ini, Laudya menjadi perhatian peminat di Malaysia kerana pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang juga bekas suami Erra Fazira pada September 2017. Namun, mereka bercerai pada Julai 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Sumber, harian metro