Diana berkongsi kisah lama ketika awal bergelar anak seni. Pelakon Diana Amir mendedahkan dia pernah mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya ketika mula melibatkan diri dalam dunia seni. Diana atau Nurdiyana Amir Hashim, 36, berkata, pergaulan bebas dan tidak menutup aurat antara faktor yang membuatkan bapanya bimbang dia menceburi bidang lakonan.
“Ibu bapa saya bukanlah macam ustaz atau ustazah tetapi mereka memahami tentang agama. Memang ayah tak beri kebenaran saya berlakon. Dia tidak suka sebab tahu berlakon ini tak boleh tutup aurat dan hal berkaitan pergaulan,” katanya.
Diana berkongsi kisah tersebut dalam sesi siaran langsung bersama pendakwah Asma’ Harun yang turut disertai pelakon kelahiran Singapura, Elfaeza Ul Haq. Pada zaman kemuncaknya, Diana sering muncul dalam filem terbitan Metrowealth seperti Aku Masih Dara, 7 Petala Cinta, 3 Temu Janji, Aku Terima Nikahnya dan 99 Kali Rindu.
Pelakon itu mula melakukan perubahan dengan menutup aurat pada 2011 sebelum memperlahankan karier seni selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohd Habibullah A Rahman pada 2013. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Khaulah Al Azwar dan Khadija Azzehra. Dalam pada itu, Diana memberitahu dia sebenarnya sudah mula bertudung sejak zaman persekolahan namun pernah melepaskan hijab tanpa pengetahuan keluarga.
Ini bukan membuka pekung… Kisah ini boleh dijadikan inspirasi buat mereka.
“Sejak di bangku sekolah saya memang bertudung, namun sering on and off tanpa pengetahuan ibu bapa,” katanya. Meskipun kelihatan malu-malu membuka kisah lama seolah-olah membuka pekung, namun Asma’ menjelaskan perkongsian tersebut sebenarnya boleh dijadikan sebagai inspirasi terutamanya golongan remaja yang mungkin sedang mencari hala tuju kehidupan mereka.
“Ini bukan membuka pekung… ramai anak muda sekarang ini sedang mencari-cari. Mereka kenal Diana macam ini (imej sekarang), mereka tidak tahu Diana pernah mengalami konflik zaman remaja yang dahsyat. “Kisah ini boleh dijadikan inspirasi buat mereka,” katanya.
Sementara itu, Elfaeza pula memberitahu dunia glamour dilalui sebelum ini bukan sesuatu yang indah seperti mana anggapan orang ramai. Kata Elfaeza, selain berlakon dia perlu memberi komitmen kepada menghadiri majlis selain menghadiri sesi bergambar bagi tujuan promosi.
“Saya minat berlakon untuk menghiburkan orang ketika itu namun apa yang berlaku di sekeliling bukanlah sesuatu yang indah. Selain berlakon banyak lagi perkara perlu dibuat seperti menghadiri majlis dan sesi fotografi… serabut! Apa yang saya suka buat adalah lakonan sebab itu jiwa kita,” katanya.
Sementara itu, berkongsi pengalaman berada di lokasi penggambaran selepas mengubah penampilan, kata Elfaeza kru produksi seperti jurusolek dan penata gaya sangat memberi sokongan memastikan auratnya terjaga.
Malah dia turut mendapat kerjasama baik untuk tidak meninggalkan waktu solat meskipun masih terlibat dalam penggambaran. “Selepas saya berhijrah, datang ke set penggambaran memang rasa gementar. Saya sudah minta kepada produksi untuk habiskan babak awal supaya tidak tertinggal waktu solat. “Mereka sangat memahami malah jurusolek sangat prihatin terhadap aurat saya. Jika ada baju jarang, dia akan pastikan saya pakai aurat saya tidak terdedah,” katanya. Sumber, Mstar Online