Danny banyak berkongsi progres penurunan berat badan di laman TikTok. Teguran peminat dan rakan-rakan mengenai saiz badan semakin berisi memberi semangat buat pelakon dan penyanyi Danny X-Factor untuk mengamalkan diet seimbang dan melakukan senaman. Menurut Danny atau Mohd Khardanie Anwa, 41, dalam tempoh empat bulan dia berjaya mengurangkan berat sebanyak 15 kilogram tanpa mengambil sebarang suplemen atau produk kuruskan badan.
“Semuanya bermula dari TikTok, apabila saya muat naik gambar tak sangka ramai yang tegur dan masih ingat saya sebagai Danny X-Factor. Namun komen yang tak best bila orang cakap bentuk badan dah tak sama macam dulu.
“Dari situlah saya mula diet, dulu berat badan saya 92 kilogram. Itulah yang membuatkan motivasi untuk turunkan berat badan. Selain melakukan senaman, saya juga tidak mengambil gula dalam minuman dan jaga pemakanan. Banyak juga produk kuruskan badan yang menghubungi saya, namun saya tolak sebab mahu cuba cara sendiri,” katanya.
Danny ditemui di Majlis Malam Selebriti & Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada Jumaat. Mengakui penampilan penting bagi seorang pelakon, langkah untuk menurunkan berat badan juga dianggap sebagai pemulaan untuk kembali aktif secara serius dalam dunia seni. Dalam masa sama ia juga memberi keyakinan kepada diri sendiri untuk berhadapan dengan orang lain.
Banyak juga produk kuruskan badan yang menghubungi saya, namun saya tolak sebab mahu cuba cara sendiri.
“Sekarang ini kalau berjalan, isteri dah mula pegang tangan. Dia pernah tunjukkan gambar perkawhinan kami, memang jelas ketara perbezaan dahulu dan sekarang. Isteri juga memberi galakan untuk saya buat comeback secara serius dalam bidang lakonan. InsyaAllah kalau ada tawaran dan masa lapang saya akan terus berlakon. Iyalah, sekarang pun masih dalam proses buat badan,” jelasnya.
Sementara itu berkongsi tentang kemunculan semula kumpulan X-Factor, Danny berkata ia tidak mungkin berlaku memandangkan semua rakan-rakannya sudah memiliki komitmen sendiri dan sukar untuk bertemu untuk membuat persembahan.
Danny bagaimanapun memberi bayangan akan muncul sebuah kumpulan baharu yang diberi nama X-Factor Jr. “Masing-masing sudah ada komitmen sendiri, jadi memang susah untuk kami bersatu kembali. Kumpulan X-Factor memang sudah tidak wujud. Tunggukan nanti saya akan umum kemunculan kumpulan baharu sebagai junior kepada X-Factor,” ujarnya. Sumber, Mstar Online