Pelakon Yusuf Bahrin menyangkal dkwaan mendkwa dia dikongkong oleh isterinya, Zizi Kirana apabila sering dilihat membawa penyanyi itu ke set penggambaran. Yusof, 30, berkata, tidak timbul isu dikongkong atau cemburu sebaliknya dia sendiri meminta Zizi menemaninya jika jadualnya kosong kerana tidak mahu isterinya itu bersendirian di rumah.
“Saya memang ajak bukan sebab dia tidak percayakan saya tapi sebab dia biasanya akan berseorangan dekat rumah kalau tiada sebarang komitmen. Isu cemburu ini, dia bukan seorang yang cemburu tidak tentu hala… biasalah orang perempuan bila kita terlalu mesra dengan wanita lain dia akan terasa. Saya sebagai suami kenalah terangkan kepadanya agar tiada salah faham kerana dia pun manusia biasa ada perasaan cemburu,” katanya.
Yusof berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Jesnita yang diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis. Untuk rekod, Yusof dan Zizi, 37, mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.
Memang saya berjaga-jaga selepas berkahwin ini. Bila ada watak bersentuhan saya terpaksa hadkan.
Dalam pada itu, Yusof memberitahu sejak bergelar seorang suami dia lebih berhati-hati dalam melakukan babak mesra berlakon pelakon gandingannya dalam drama termasuk menerusi Jesnita. Kata Yusof, meskipun Zizi tidak meletakkan sebarang syarat kepadanya namun dia sendiri sedar perlu menjaga hati isteri apatah lagi berpegangan dengan bukan muhrin itu hukumnya haram.
“Memang saya berjaga-jaga selepas berkahwin, kena jaga hati isteri. Bila dapat watak bersentuhan saya cuba hadkan atau guna ‘trick’ tertentu. Seperti contoh, saya akan tarik beg tangan atau baju pelakon, saya juga minta krew buat trick nampak macam pegang tangan tapi ia tetap jadi buah mulut orang. Apa-apa pun saya tahu apa saya buat dan Allah SWT juga tahu,” jelasnya.
Tambahnya, perkara itu dilakukan atas kemahuan dirinya sebagai usaha dalam menjaga sahsiah diri serta hati isterinya. Pun begitu, Yusof bersyukur kerana Zizi seorang isteri yang memahami akan kerjayanya sebagai seorang aktor.
“Alhamdulillah dia sangat memahami, perkara ini atas kemahuan saya sendiri. Zizi juga tidak meletakkan apa-apa syarat cuma kami sekadar mengingati antara satu sama lain,” katanya lagi. Drama Jesnita terbitan Zeel Production ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Intan Najwa, Nasha Aziz, Fikry Ibrahim, Rozita Che Wan, Nina Smith, Malek McCrone dan juga Zach Zaffranz. Jesnita bakal ditayangkan bermula 7 November ini pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 6 petang secara eksklusif di slot Tiara melalui saluran Astro Prima (105). Sumber, Mstar Online