Hawa harap peminat dapat terima bakatnya mengendalikan program hiburan. Selepas diumumkan sebagai hos baharu program MeleTOP, ada segelintir penonton mula membuat perbandingan cara penyampaian Hawa Rizwana Redzuan dengan bekas pengacara iaitu Noor Neelofa. Sering disamakan dengan pengacara sensasi itu, Hawa, 27, bagaimanapun berharap suatu hari nanti perkara tersebut tidak lagi diperkatakan dan penonton dapat menerima kehadirannya dalam industri menggunakan nama sendiri.
“Sebelum menjadi pengacara televisyen wajah saya sudah viral kerana dikatakan sama seperti Neelofa, kalau fikir apa orang hendak kata memang kita akan duduk di tempat sama sahaja. Saya perlu bekerja. Apa pun yang saya buat adalah untuk diri sendiri. Terserah kepada orang lain untuk membuat tanggapan tetapi kalau boleh saya mahu dikenali bukan sebab orang lain. Semoga satu hari nanti orang boleh terima kehadiran saya,” katanya.
Hawa yang baru dipilih menjadi pengacara tetap ditemui semasa siaran langsung program berkenaan di Auditorium MBSA Shah Alam, Selangor pada Selasa. Melihat pencapaian Neelofa selama lapan tahun mengendalikan MeleTOP bersama Nabil Ahmad, Hawa sedar bahawa ia merupakan satu tanda aras tinggi untuk dia memikat hati peminat.
“Selama lapan tahun menjadi hos program ini, Neelofa telah meletakkan satu tanda aras yang tinggi. Memanglah ada sedikit tekanan untuk saya gantikan tempatnya. Namun siapa yang tidak mahu apabila diberi peluang menjadi pengacara MeleTOP. Saya juga berterima kasih kepada Nabil kerana dia antara orang yang mahu saya menjadi hos. Sejak awal ditawarkan sebagai pengacara jemputan, Nabil sudah beritahu untuk terima sahaja menjadi hos tetap. Buat masa sekarang kami masih mencari keserasian antara satu sama lain kerana jarak umur yang jauh berbeza,” jelasnya.
Tetapi kalau boleh saya mahu dikenali bukan sebab orang lain. Semoga satu hari nanti orang boleh terima kehadiran saya
Sementara itu, Hawa juga meluahkan rasa terharu apabila bapanya sendiri iaitu Profesor Datuk Ahmad Redzuan yang juga merupakan bekas penyampai berita memberi restu untuk dia terlibat dalam sebuah rancangan berbentuk hiburan. Melihat penglibatannya ini juga merupakan satu peralihan pengacaraan program serius kepada lebih santai, sekali gus membuka ruang untuk dia lebih mengenali bakat sebenar dalam diri.
“Ibu bapa sangat menjaga setiap tingkah laku saya. Apabila berlaku perubahan drastik dalam kerjaya ini pastinya saya mahu mendapatkan restu mereka. Tak sangka ayah sangat mudah memberi restu apabila menerima tawaran ini. Ayah menonton setiap hasil kerja saya dan dia akan memberi komen jika ada yang tak kena. Kadang-kala dia juga berikan doa. Penglibatan dalam program ini juga memberi ruang untuk saya mencari kekuatan dan bakat dalam diri sendiri,” ujarnya.
Untuk rekod, Neelofa mengundur diri dari menjadi hos MeleTOP pada Disember 2019 dan sejak itu hanya pengacara jemputan wanita sahaja menjadi gandingan Nabil. Selain Hawa antara selebriti wanita yang pernah bergandingan dengan Nabil sebagai hos adalah Uyaina, Elly Mazlein dan Sherry Alhadad. Sumber, Mstar Online