MEMBESAR sebagai anak yatim piatu, Nurin sememangnya sudah terbiasa hidup berdikari sehinggalah dia berkahwin dengan cinta hatinya pada awal tahun lalu. Hasrat Nurin untuk menumpang kasih ibu mentua nampaknya tidak kesampaian apabila dia sering dilayan dingin, malah turut dibanding-bandingkan dengan birasnya yang lain. Lebih teruk, ibu mentuanya juga enggan membantu selepas dia selamat melahirkan bayi sulungnya pada Disember lalu, memaksa Nurin dan suami belajar sendiri cara menguruskan bayi di rumah sewa mereka.
“Saya memang tiada mak ayah sejak kecil lagi. Saya dibela oleh nenek. Masa tingkatan enam, nenek pula pergi menghadap illahi. Sejak detik itu, saya memang sendirian sehinggalah jumpa suami. “Saya fikir seronoknya dapat kahwin, dapat keluarga mentua. Saya memang rindu layanan seorang ibu. Tapi ibu mentua macam tak suka saya. Ada saja tindakan saya buat, semua tak kena pada mata dia. “Sampailah saya bersalin anak perempuan, pun dia tak nak tolong jaga masa berpantang. Sedangkan biras saya yang lain elok je dia jaga lepas mereka bersalin,” ujarnya sayu.
Menurut Nurin yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan, dia dan suami berdepan banyak cabaran memandangkan mereka baru pertama kali menimang cahaya mata. Namun katanya, berlaku satu kejadian yang membuatkan dia trauma gara-gara kecuaian suaminya ketika hari kedua selepas dia melahirkan anak. “Alhamdulillah, proses bersalin lancar. Saya dibenarkan pulang ke rumah sehari selepas bersalin. Sepatutnya suami kena tanam uri, tapi dia terlupa kerana sibuk uruskan banyak perkara. “Ketika balik rumah, saya pun tak sempat nak tengok-tengok di dapur sebab badan penat lagi. Rupa-rupanya uri yang suami bawa balik untuk ditanam masih ada di dapur.
“Pada malam itu, suami keluar beli barang. Ketika saya baring di tilam, saya dengar bunyi bising, macam orang sedang selongkar plastik di dapur. “Saya dah mula rasa tak sedap hati, saya bangun perlahan-lahan dan berjalan ke dapur. Subhanallah, saya rasa terkejut macam nak pergi. Terus saya rebah kat situ,” imbasnya. Nurin yang terbaring di dapur ditemui tidak sedarkan diri oleh suaminya sejurus dia pulang dari kedai runcit berdekatan. Selepas tersedar, Nurin hanya mampu meraung ketakutan, trauma dengan apa yang disaksikannya.
“Selepas sedar, saya memang menangis je. Bila dah tenang tu baru saya boleh bercakap. Saya cerita pada suami, saya nampak ada makhluk hitam berbulu, badannya besar dan mata warna merah terang. “Makhluk tu duduk bercangkung di hujung dapur, tengah jilat uri. Boleh nampak lidahnya panjang dan penuh cairan merah. Makhluk tu pandang tepat pada saya, sebab tu saya terus rebah,” ujar Nurin lagi. Selepas menceritakan apa yang dilihat, suami Nurin terus meminta maaf dan mengaku bahawa dia betul-betul terlupa untuk menanam uri berkenaan. Namun, bungkusan uri tersebut gagal ditemui biarpun suaminya telah mencari di sekeliling rumah pada hari kejadian.
Dia yang menyesal dengan kejadian itu turut memanggil seorang ustaz untuk datang dan ‘membersihkan’ kediaman tersebut daripada sebarang anasir mistik. “Suami minta maaf, dia betul-betul menyesal sebab lupa tanam uri. Selepas saya ceritakan apa yang berlaku, dia pun cuba cari uri tu untuk ditanam. “Dah cari satu rumah tapi memang tak jumpa. Saya syak mungkin makhluk tu dah makan habis. Ustaz pun ada tegur suami. Bahaya katanya biarkan uri terbiar lama-lama. “Sejak kejadian itu, hari-hari kami pasang al-Quran. Kami juga perbanyakkan ibadah. Alhamdulillah, dah tak pernah ada kejadian pelik-pelik lagi,” ujar Nurin.
Sumber, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.