Drama Sutun dan Sutun 2 pernah memperkenalkan Ku Mohd Yusri Ku Abd Rahman atau mesra disapa Adeq dalam industri hiburan. Bagaimanapun, nama Adeq, 40, seakan tenggelam selepas kemunculannya dalam drama itu walaupun wataknya terus diingati sehingga kini. Selepas sekian lama menyepi, Adeq kini kembali menjadi sebutan warganet selepas aktif di TikTok dan siapa sangka, beliau kini bergelar pendidik dengan mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara 2, di sini.
Bercerita lanjut, anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, beliau menceburi bidang perguruan sejak 2010 kerana minat dan galakan keluarga. Saya tak hilang ke mana pun… cuma tak aktif dalam dunia hiburan kerana sambung belajar dalam bidang perguruan. Tamat belajar, saya terus bekerja sebagai guru dan ditakdirkan jadi pendidik sehingga kini. Jika diikutkan, pelajar tak tahu sebenarnya latar belakang saya sebagai pelakon kerana saya merahsiakannya daripada mereka. Bagaimanapun, mereka (pelajar) dapat tahu melalui ibu bapa mereka sendiri selepas berjumpa dengan saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berkongsi perasaan apabila nama dan drama lakonannya masih diingati hingga kini, Adeq mengakui tidak percaya tetapi bersyukur dengan sokongan diberikan orang ramai terhadapnya. Lantaran drama itu, dia juga mengekalkan nama Adeq yang sudah sebati dengan dirinya. Nama Adeq kekal kerana ia nama panggilan dalam dunia persembahan atau ‘stage name’. Saya sangat terkejut apabila masih ramai yang ingat dan kenal kerana saya tidak berapa aktif dalam dunia media sosial.
Akaun TikTok yang ada pun masih baru tetapi mula bertambah hingga kini mencecah lebih 20,000 pengikut walaupun baru muat naik beberapa video saja,” katanya. Ditanya kemungkinan untuk kembali aktif dan membuat kemunculan semula dalam industri seni tanah air, Adeq mengakui pernah terfikir mengenainya. Buat masa ini, tumpuan saya adalah menjadi pendidik kerana kerjaya itu memberi saya kepuasan lihat kejayaan anak didik di persada dunia. Cuma, ada juga terfikir untuk aktif semula tetapi persoalannya ada yang terima saya ke? Apa pun, syukur Alhamdulillah. Terharu dan sangat berterima kasih dengan semua.
Semoga kita semua akan terus berjaya di dunia dan akhirat serta sentiasa berada dalam lindungan-Nya,” katanya. Selain Sutun dan Sutun 2 yang ditayangkan pada 2005 serta 2006, Adeq pernah membintangi drama lain antaranya Paku Di Dinding Hati, Di Pintu Barzakh dan Jangan Hantar Aku Ke Neraka.