Siput jenis Lissachatina Fulica White Jade yang dibela Izza Qistina dapat perhatian warganet.

“BELA apa? Siput?” reaksi penulis tatkala pelajar pelatih di pejabat memaklumkan mengenai seorang kenalannya yang mempunyai haiwan kesayangan iaitu siput.

Penulis tanpa berlengah meminta nombor telefon gadis itu yang bukan sahaja siput, tetapi mempunyai pelbagai haiwan kesayangan yang ‘pelik’ di mata penulis.

Bagi Izza Qistina Zolkifli, 24, reaksi janggal orang ramai yang mengetahui dia mempunyai haiwan kesayangan antaranya siput bukan sesuatu yang baharu. Ini kerana jarang yang menjadikan siput sebagai haiwan peliharaan.

Izza berkata, dia kini mempunyai enam ekor siput yang kali pertama dibeli pada dua tahun lalu daripada penternak tempatan. Saya beli pada harga tidak sampai RM100 seekor dan kemudian lima lagi adalah anak kepada yang pertama itu yang diberikan secara percuma oleh penternak.

Bagi saya haiwan ini mempunyai keunikan tersendiri dari segi ciri-ciri dan tingkah lakunya. Malah, saya juga adalah peminat haiwan. Jadi, tiada sesuatu yang mustahil untuk saya menjadikan siput sebagai haiwan kesayangan,” katanya.

Jelasnya, siput yang dimilikinya adalah dari spesies Lissachatina Fulica White Jade yang berasal dari Afrika Timur. Katanya, di Malaysia tidak ramai menjadikan siput sebagai haiwan kesayangan kerana mudah didapati dan boleh dianggap sebagai makhluk perosak tanaman.

Siput saya yang pertama diberikan nama sebagai Fergus dan anak-anaknya tidak diberikan nama. Cukup sekadar dinamakan kumpulan haiwan kesayangan saya ini sebagai Fergus And The Gang.

Siput ini mempunyai ciri-ciri kuat makan. Boleh dikatakan sehari saya memberikan dua hingga tiga kali makanan. Namun, kos penjagaannya tidak begitu tinggi kerana ia hanya memakan tumbuh-tumbuhan dan kadangkala saya berikan telur yang digoreng tanpa minyak,” katanya.

Antara makanan diberikan Izza kepada siput kesayangannya adalah salad, sawi, pisang tembikai dan pelbagai tumbuhan hijau. Bagi memastikan kesihatannya terjaga, siput juga memerlukan makanan tambahan seperti serbuk kalsium dan tulang sotong yang boleh dibeli di kebanyakan kedai haiwan peliharaan,” katanya.

Katanya, dia paling menyukai apabila memberi makanan berwarna cerah seperti tembikai, lobak atau betik kerana boleh melihat makanan yang dihadam ‘mengalir’ masuk dalam perut haiwan berkenaan. Memandangkan kepala hingga perut siput ini berwarna putih dan seperti lut sinar, kita boleh melihat dengan jelas makanan itu masuk dalam perutnya.

Apatah lagi jika makanan itu berwarna terang seperti tembikai atau betik. Melihat cara ia makan juga unik pada pandangan saya kerana siput makan sedikit demi sedikit,” katanya. Katanya, dia membela haiwan kesayangannya dalam sebuah bekas yang dihias seperti terrarium supaya mudah menjaganya termasuk dari segi makanan.

Siput ini secara semula jadi suka kepada persekitaran yang hijau dan lembap. Jadi, terrarium adalah tempat terbaik untuk memastikan ia hidup dalam keadaan selesa. Sekurang-kurangnya dua kali sehari saya perlu menyembur terrarium ini dengan air supaya bekas itu sentiasa lembap. Selain itu, memandangkan siput ini jenis kuat makan, saya perlu menanam tumbuhan baharu sekitar sekali dua minggu dalam bekas berkenaan,” katanya.

Tambahnya, dia juga mempunyai alat penyukat kelembapan supaya mengetahui tahap kelembapan dalam bekas berkenaan. Tahap kelembapan dalam bekas perlu berada pada kadar 75 hingga 80 peratus dan suhu sekitar pula antara 23 hingga 25 darjah Celsius. Jika terlalu panas siput akan mempunyai jangka hayat yang pendek.

Jadi, amat penting untuk saya mempunyai alat berkenaan supaya apabila tahap kelembapan menurun, saya sembur persekitaran terrarium dengan air. Katanya lagi, lebih menarik ialah dia suka membasahkan tapak tangan dan meletakkan haiwan itu di atasnya kerana haiwan itu akan menyedut air.

Siput mempunyai gigi yang banyak dan ketika ia menyedut air di tapak tangan yang basah, kita akan dapat merasai pergerakannya dan gigitan kecilnya. Bagi saya apabila ingin membela haiwan tidak kira siput atau sebagainya, perkara yang perlu diketahui adalah ilmu penjagaan supaya kita boleh menjadi penjaga yang bertanggungjawab,” katanya mengakhiri perbualan.

Kredit Harian Metro.PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.