DALAM kemeriahan umat Islam memasuki tahun baharu hijrah, masyarakat di Malaysia akan menghadapi satu lagi episod proses demokrasi iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang. Sebagai negara mengamalkan demokrasi berparlimen, perkara ini sangat penting demi menjamin proses demokrasi berterusan dan negara dapat ditadbir dan diuruskan dengan baik.
Maka, menjadi tanggungjawab setiap Muslim yang mahu melihat Islam maju dan berkembang ialah memilih pimpinan yang layak dan bertanggungjawab. Dalam konteks memilih pimpinan atau mereka yang menerajui sesebuah institusi hinggalah ke peringkat negara ialah pedoman daripada kisah Nabi Syuaib ketika memilih Nabi Musa. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (Surah al-Qasas, ayat 26).
Oleh itu, sebagai rakyat yang bertanggungjawab terhadap negara mestilah menggunakan hak sebagai warganegara untuk memilih dalam setiap pilihan raya.
Setiap undi sangat penting untuk menentukan masa hadapan negeri secara khusus dan negara secara umumnya. Jika ada yang tidak keluar untuk mengundi pasti akan menjejaskan kredibiliti calon yang terpilih kerana sudah berkurangan satu undi. Dalam sistem demokrasi, kelebihan satu undi sudah memberi kelebihan untuk memenangi kerusi pilihan raya.
Berdasarkan perkembangan dunia yang semakin pesat, kita dapati calon yang terlibat dalam setiap pilihan raya juga semakin bertambah dari segi tahap keilmuan atau pendidikan. Bukan semestinya memiliki kelayakan akademik yang lebih tinggi menjamin kualiti kepemimpinan yang lebih baik. Tetapi, sekurang-kurangnya tidak terlalu ketinggalan dalam mengikuti kepesatan perkembangan dan kemajuan dunia moden. Tahap pendidikan yang lebih baik biasanya menggambarkan seseorang itu sentiasa menambah nilai diri dan mempunyai wawasan menjadi lebih baik.
Negara memerlukan pemimpin yang bukan sahaja layak dan mampu memandu rakyat ke arah yang lebih baik dari segi keduniaan sahaja. Malah, mestilah seorang yang mampu membawa rakyat kepada persiapan untuk berjaya dan bahagia di akhirat juga. Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Membincangkan berkenaan perkara ini, maka kepemimpinan Rasulullah SAW pastinya menjadi contoh terbaik. Bukan sahaja dalam perkara keduniaan, malah Rasulullah SAW juga contoh terbaik dalam persediaan kehidupan akhirat. Baginda menjadi contoh tokoh pemimpin dunia yang menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran. Sehingga Rasulullah SAW diiktiraf dunia sebagai tokoh pemimpin agung terbaik. Madinah al-Munawwarah telah menyaksikan bagaimana Rasulullah SAW menjadikannya sebagai kota termaju di dunia dari semua segi sama ada ekonomi, ilmu pengetahun, perpaduan kaum dan sebagainya.
Sebagaimana yang kita maklumi, keperibadian Rasulullah SAW yang terpuji sangat memainkan peranan penting dalam memimpin negara. Oleh itu, sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya mewarisi kepemimpinan Rasulullah SAW mestilah berusaha untuk menghiaskan diri dengan akhlak yang terbaik sebagaimana Baginda. Mereka mestilah berusaha menambah ilmu pengetahuan dan sentiasa memperbaiki kesilapan serta mensucikan diri daripada segala perkara yang buruk dan menyebabkan dosa.
Tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa atau hati) adalah antara tugas utama Rasulullah SAW. Perkara ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Imran, ayat 164)
Bukan sahaja menjadi tanggungjawab pemilih untuk memilih calon terbaik mengikut kriteria tertentu sebagaimana digariskan Islam melalui panduan Rasulullah SAW dan kajian ulama. Bahkan, mestilah mengutamakan pemimpin yang bersifat adil. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Pemimpin adil doanya tidak ditolak oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bemaksud: “Tiga orang yang doa mereka tidak akan ditolak, iaitu orang yang berpuasa hingga berbuka, seorang imam (pemimpin) yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Di samping itu, pemimpin adil juga sangat dicintai Allah SWT. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia yang paling dicintai oleh Allah pada Hari Kiamat dan paling dekat tempat duduknya adalah imam (pemimpin) yang adil, sedangkan manusia yang paling dibenci Allah dan paling jauh tempat duduknya adalah imam (pemimpin) yang zalim.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan. Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.