SELEPAS Yotuber terkenal Syahmi Sazli dan isterinya Anissa Faizul bersuara mengenai isu air bersih di Kelantan, akhirnya nasib sebuah keluarga di Pasir Mas terbela. Menurut Nor Idayu Supian, 31, dia dihubungi Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada 4 Ogos lalu iaitu hari yang sama rintihannya disiarkan. Difahamkan Mohd Nassuruddin kemudian mewakilkan anaknya iaitu Ahmad Syakir untuk ke rumah wanita itu bagi meninjau situasi sebenar berhubung dakwaan terputus bekalan air bersih sejak enam bulan lalu.
Bercerita, dia yang senang disapa Ayu menjelaskan bantuan bekalan air akhirnya disalurkan ke tangki rumahnya oleh Air Kelantan Sdn Bd (AKSB) pada pagi Sabtu. “Saya buat satu hantaran dekat grup Facebook Pasir Mas tu sebab sudah tak tahan dengan masalah tak ada air di rumah saya di Kelantan. “Tak sangka lepas hantaran tu tular, wakil daripada Exco Kelantan datang malam tu juga berjumpa saya di rumah. Katanya hantaran saya buat itu viral sampai ke pihak mereka.
“Jadi keesokannya iaitu pada Sabtu, mereka hantar bekalan air menggunakan lori tangki ke rumah saya. Tetapi hanya rumah saya saja yang terima bantuan tu sebab mereka anggap saya saja buat aduan. Lagi 15 rumah lain di kawasan sini tak dapat,” katanya. Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, selain memenuhkan tangki air di rumahnya di Kampung Banggol Stol, Pasir Mas, pihak AKSB turut memeriksa bagi mencari punca masalah air tidak sampai. Menurut Ayu, perumahannya dikategorikan sebagai kawasan bertekanan rendah hingga menyebabkan penduduk sukar menerima bekalan air.
Dalam pada itu, Ayu turut meluahkan rasa terharu apabila keluhannya sebelum ini mendapat perhatian Syahmi dan Anissa hingga kisahnya mendapat liputan media. “Syukur sangat apabila kes saya terus diberi perhatian selepas Syahmi dan Anissa memberi respons terhadap apa saya adukan di Facebook. Disebabkan nama mereka besar dan berpengaruh, lebih cepatlah kerajaan ambil tindakan. “Lagipun dah tinggal beberapa hari saja lagi nak mengundi. Saya dah lama hadapi masalah ni. Saya pun fikir memang ini masa terbaik untuk ambil peluang luahkan semua masalah air ni,” katanya lagi.
Tidak cukup dengan bekalan air, Ayu berkata dia sangat tersentuh apabila Syahmi turut menghubunginya dan menawarkan untuk memberikan sumbangan penapis air berharga RM2,798 yang dihantar oleh wakil syarikat LK LUx di Pengkalan Chepa pada pagi Isnin. Bercerita lanjut mengenai masalah ketiadaan bekalan air bersih yang dihadapinya, Ayu berkata keadaan itu benar-benar menyukarkan urusan harian mereka sekeluarga. Jelas Ayu, dia dan suami, Helmey Mohd Nor, 39, terpaksa mengangkut air sebanyak tiga hingga empat kali setiap hari di masjid yang berjarak kira-kira dua kilometer dari kediamannya.
“Masa tak ada air tu memang sukar nak buat kerja harian. Saya pula berniaga kek jadi memang banyak nak guna air. Selain air nak digunakan untuk kek, peralatan seperti loyang dan perkakas kek pun saya kena basuh semula. Saya terpaksa guna air mineral dalam botol saja. “Suami saya pun terpaksa pergi kerja lewat di Rantau Panjang sebab kena tolong saya angkut air di masjid sebelum ni. Sampaikan mandi pun kena pergi masjid,” jelasnya lagi. Dalam pada itu, Ayu berharap masalah air di Kelantan bakal diselesaikan bagi mengurangkan penderitaan sesetengah kawasan yang terputus bekalan.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.