Teruja dapat salam dengan Agong, individu ni sanggup jaga tangan 2 hari sampaikan makan pun suruh isteri suapkan

KEHADIRAN Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan adindanya, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah turut menjadi perhatian dalam Kembara Kenali Borneo di Sarawak. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengetuai kembara, yang turut menyaksikan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat dalam kembara berkenaan. Ternyata rakyat di Bumi Kenyalang amat teruja menantikan kedatangan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Menerusi satu video yang tular, seorang pemuda dalam ribuan hadirin di Bintulu dilihat menyanyikan lagu ulang tahun hari keputeraan Tengku Ahmad yang jatuh pada 11 September. Dengan penuh keterujaan, Arief Abdul Kuddus memegang kadbod dengan ucapan selamat hari ulang tahun bagi menarik perhatian Tengku Ahmad pada Ahad. Tuah menyebelahi pemuda berusia 33 tahun itu kerana dia bukan sahaja dapat menyerahkan hadiah tersebut kepada Tengku Ahmad Ismail yang berada di dalam kereta, malah berpeluang untuk bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong.

Berkongsi kegembiraan itu, pemuda berasal dari Bintulu itu berkata, dia bersama penduduk Kampung Penan Muslim Batu 10 masing-masing merancang untuk menyanyi lagu ulang tahun buat Tengku Ahmad pada sebelah petang. “Pagi tu saya dan team membuat persiapan untuk menghadiahkan wangian buat Agong, Permaisuri Agong dan anakandanya sebagai tanda ingatan. “Kami membuat semakan nama masing-masing di carian Google untuk menulis ucapan, tapi masa nak dapatkan nama lengkap Tengku Ahmad, barulah kami perasan hari jadi dia rupa-rupanya kebetulan pada 11 September. Jadi, saya tulis kadbod khas untuk Tengku Ahmad,” katanya.

Mengulas lanjut, dia yang mesra disapa Arief memberitahu, dirinya setia menunggu lebih empat jam untuk menyaksikan keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah termasuk Tengku Hassanal serta Tengku Ahmad di hadapan mata. Namun, content creator di sebuah syarikat pembekal wangian yang berpangkalan di Bintulu itu hanya mampu tawakal sebaik melihat sepanjang jalan dibanjiri orang ramai.

“Ramai sangat orang, masa tu kami tawakal. Syukur Alhamdulillah dalam ribuan tu, saya seorang yang pegang kadbod tulis hari ulang tahun untuk Tengku Ahmad. “Tak sangka dapat salam dengan Agong, dapat bagi hadiah terus kepada Tengku Ahmad. Satu perasaan teruja yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata,” ujarnya. Mengakui keterujaan yang dirasai begitu luar biasa, Arief turut mendedahkan malam itu dia nekad untuk tidak mahu mengotorkan tangannya selepas bersalaman dengan Agong.

“Saya tak mahu kotorkan tangan saya dengan makan pakai tangan. Mujur saya ada isteri yang sudi menyuap saya makan malam tadi (Ahad). “Esoknya (Isnin), saya makan menggunakan sudu. Kebiasaannya, saya memang makan guna tangan tapi kasi chance la untuk saya simpan ‘aura’ Tuanku,” ujarnya. Menyifatkan Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dan Tengku Hassanal serta Tengku Ahmad begitu merendah diri dan berjiwa rakyat, Arief berkata, pihaknya menyediakan hadiah berupa lima daripada 700 jenis wangian segar dan harum.

“Setiap wangian ni dihadiahkan berdasarkan karakter masing-masing. Saya sangat gembira rancangan kami untuk menyerahkan hadiah wangian ini menjadi. Saya macam kena histeria dapat jumpa mereka sebab terlalu teruja. Apabila tahu Tengku Ahmad ada kongsi gambar hadiah yang dia dapat termasuk yang kami bagi itu, menerusi story Instagram dia, memang saya melompat sebab seronok sangat,” ujarnya gembira.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.