Keluarga Allahyarham Hamid Gurkha mendakwa masih menanti wang berjumlah RM10,000 daripada Astro yang tertunggak sejak tahun lalu sehingga sekarang. Memetik Harian Metro, anak ketuujuh pelawak itu iaitu Nor Azian berkata bapanya diberikan Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021) yang berlangsung pada 29 Mei tahun lalu dan menerima wang berjumlah RM10,000. Menurutnya, mereka menantikan wang tersebut masuk namun sehingga bapanya meninggal masih belum diterima sehingga terlupa mengenai wang berkenaan.
“Sebulan selepas itu, bapa pergi menghadap illahi pada 14 Jun tahun lalu. Sebenarnya selepas program itu berakhir, kami tunggu duit masuk tapi sehinggalah dia pergi menghadap illahi pun tiada juga. Kami pun macam dah terlupa berkenaan duit itu. Kemudian emak ingatkan hal ini dan saya hubungi produksi AME2021 dan diberitahu wang itu ada, namun kami perlu berikan dokumen pemergian dan sebagainya.
“Saya berhubung dengan wakil produksi bernama Lala yang banyak membantu. Saya bagi dokumen ini yang diserahkan kepada Jabatan Kewangan dan Undang-Undang, tapi selepas itu mereka diam saja,” katanya. Bagaimanapun, Azian menghubungi pihak tersebut dan dimaklumkan wang berkenaan perlu difaraidkan kerana telah menjadi pusaka. “Saya tanya mereka apa perlu kami buat dan mereka kata mahukan surat. Sebenarnya kami dah berbincang adik-beradik dan bercadang nak beri wang ini sepenuhnya kepada emak sebagai tanda kasih sayang.
“Kami tak bercadang nak ambil duit itu dan buat surat kasih sayang mengatakan nak beri kepada emak. Selepas buat dan hantar, mereka diam juga. Kemudian Jabatan Undang-Undang beritahu Lala, dokumen ini tak diterima kerana tiada pengesahan mahkamah. Saya seterusnya rujuk kepada pejabat agama dan tanya apa yang perlu dibuat dalam tuntutan faraid,” katanya. Dalam pada itu, Azian berkata dia diberitahu perkara tersebut tidaklah begitu sukar kerana apabila ianya dipersetujui oleh adik beradik yang lain ia boleh diterima.
“Kemudian mereka sekali lagi kata kena ambil peguam pula. Bagi saya, takkan perkara ini nak kena guna peguam. Agak rumit nak bayar peguam lagi sedangkan wang yang dituntut cuma RM10,000. Kakitangan mahkamah yang kami jumpa pun tak galakkan kami guna peguam dan minta kami angkat sumpah.Saya dah ambil nama adik beradik, manakala kakak kedua uruskan angkat sumpah kerana yang sulung dah pergi menghadap illahi. Jadi dia uruskan hantar kepada mereka,” katanya. Bagaimanapun, masalah tersebut tiada kesudahan apabila pihak terbabit masih diam membisu. Malah, Azian berkata kasihan pada ibunya yang bertanyakan mengenai perkara tersebut.
“Saya masih tunggu keputusan ini sekarang. Kasihan dengan mak dan arwah bapa kerana perkara yang tak selesai ini. Emak sampai bertanya ada atau tiada? Kalau tiada cakaplah tiada, tak payahlah kita nak pening-pening. “Emak dah lebih 80 tahun, jadi banyaklah dia fikir nak guna duit itu untuk buat kenduri dan sebagainya. Bukan nak cakap Astro tak nak bayar, tapi kalau boleh, kami minta percepatkan proses itu. “Kami bukan nak doa, tapi berapa lama lagi dia nak hidup. Entah sempat atau tidak dia nak rasa duit itu. Kalau dia tiada lagi susah nak selesaikan benda ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Saluran Astro Ria, Warna & Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada pihak berkenaan dan akan memberikan penjelasan dalam masa terdekat. Sumber: Rotikaya. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.