Balu kepada pelawak dan pelakon, Allahyarham Abam Bochey iaitu Siti Nor Hidayah Mohd Ali sekali lagi minta adik iparnya Ali Puteh bayar hutang yang juga wang saman sekali gus menamatkan sengketa antara mereka berdua. Menerusi satu temu bual bersama Melodi, Hidayah mendedahkan bahawa pihak Ali masih belum membuat apa-apa bayaran untuk melangsaikan hutang. Menurut peguam Hidayah, pihak Ali ada membuat tawaran untuk menyerahkan beberapa buah motosikal bagi membayar hutang tersebut.
Namun, usahawan wanita itu tidak dapat menerima pertukaran tersebut kerana jumlah keseluruhan motosikal berkenaan lebih rendah berbanding jumlah hutang Ali. Oleh kerana itu, pihak Hidayah pula memberikan tawaran kepada Ali untuk membuat sejumlah pembayaran dan baki hutangnya yang lain boleh dibayar secara ansuran. Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada maklum balas daripada pihak Ali sekiranya bersetuju atau tidak berhubung tawaran terbabit.
Wanita berusia 31 tahun berkata, dia berharap Ali yang juga pelawak dapat melangsaikan hutang yang ‘tergendala’ sebelum membawa haluan masing-masing. Dalam pada itu, dia juga berkata hanya mahu menuntut hak anak lelakinya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia empat tahun dan bukannya kerana tamak. “Harapan saya cuma dia selesaikan apa yang perlu dia lunaskan dan kami akan buat haluan masing-masing. Perkara ini sudah berlarutan dan dari pihak saya pun tidak mahu bermusuhan kerana Hamzah pun anak saudara dia juga.”
“Saya mahu minta hutang saja. Hutang itu untuk anak saya bukan saya. Saya tidak tamak pun sebab saya pun ada harta sendiri, saya ada perniagaan saya sendiri,” katanya. Tambahnya, jika dapat dielakkan dia tidak mahu perkara tersebut terjadi kerana Allahyarham suaminya pasti berasa sedih melihat perkara itu berlaku. “Saya nak yang terbaik, kalau boleh saya tak nak perkara itu terjadi sebab arwah akan sedih juga. Anak pun masih kecil, kalau boleh biarlah berbaik bersama keluarga di sana. Kepada adik ipar saya Ali, saya doakan perniagaan dia semakin berjaya. Bila dah berjaya, bayar je hutang saya sebab saya tak nak berpanjangan kes ni,” ujarnya.
Sekadar info, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan menghembuskan nafas terakhir pada 10 Februari 2020. Pada Mei 2020, Hidayah memfailkan saman fitnah terhadap Ali berhubung kenyataan di media sosial yang menggambarkan dia sebagai seorang tidak bertanggungjawab. Dua tahun selepas itu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan Hidayah menang kes berkenaan dan Ali dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM60,000.
Sumber: Omm. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.