PEMANDU kereta yang menghalang laluan sebuah ambulans dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di Kuala Lumpur, pada Khamis, seperti dalam video tular, disahkan mengalami masalah psikiatri. Perkara itu disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh. Beliau berkata, pihaknya mengesan pemandu wanita berusia 41 tahun itu selepas pemandu ambulans membuat laporan polis.
“Pemandu kereta jenis Toyota Camry itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik bagi membantu siasatan. Bagaimanapun, pemandu itu didapati menghadapi masalah psikiatri, justeru dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan serta mendapatkan laporan perubatan,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat. Sarifudin berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 5.35 petang Khamis ketika ambulans itu sedang dalam perjalanan dari arah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menghala ke Ulu Kelang. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik, Jalan Tun HS Lee, melalui talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-2026 0267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. Terdahulu, tular video menunjukkan sebuah kereta dilihat sengaja menghalang laluan ambulans walaupun siren sudah dibunyikan dan arahan untuk ke tepi diberikan melalui pembesar suara. “Kereta depan dengan plat *, boleh bagi laluan tak?” teriak pemandu ambulas itu yang sedang membawa pesakit bersamanya.
Menerusi video terbabit, ketika kejadian lebuh raya dilihat lengang dengan ruang yang luas untuk pemandu kereta tersebut bergerak ke tepi. “Kau tengok kereta ni, apa masalah dia? Lailahaillallah Muhammadarrasulullah,” kata individu yang berkongsi video berkenaan cuba menahan sabar. Lebih memanaskan hati apabila pemandu kereta berkenaan diperhatikan ‘mencilok’ ke kiri dan ke kanan seolah-olah enggan memberikan peluang kepada ambulans untuk bergerak ke hadapan.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.