MEREKA yang lahir dan hidup dalam keluarga yang kurang berada harus berusaha keras untuk menyara diri dan tanggungan. Perkara sedemikian boleh diperhatikan pada golongan pekerja asing yang sanggup merantau jauh ke Malaysia demi mencari rezeki untuk keluarga di tanah air. Melalui satu video tular di laman X, ternyata keringat yang dikerah mereka berjaya membuahkan hasil lumayan.
Menerusi video tersebut, dapat dilihat dua pekerja pembinaan dipercayai warganegara Bangladesh sedang mengira wang kertas RM50 yang diperoleh selepas membanting tulang empat kerat. “Ini hasil satu bulan saya kerja, dapat RM4,200 bos bagi. Saya hanya ambil RM200 untuk diri saya. Yang lain semua akan kirim ke kampung, saya tak ada guna pun untuk beli baju atau seluar buat diri saya,” ujar lelaki warga asing itu sambil terukir senyuman kepuasan pada wajahnya.
Rata-rata pelayar kagum dengan kegigihan yang ditonjolkan pekerja asing itu dan mengharapkan rakyat Malaysia dapat mencontohi ketekunan mereka dalam bekerja. “Sesiapa yang selalu bergaul dengan warga asing akan tahu betapa kerasnya mereka bekerja untuk keluarga. Bukan senang nak berjauhan daripada yang tersayang untuk masa yang lama. Ini perkara biasa, saya dulu pernah uruskan 300 pekerja asing dari Nepal, Bangladesh dan Pakistan yang kerja kontrak. Mereka dapat gaji terus hantar semua ke kampung. Mereka cuma ambil sikit RM160 untuk beli barang-barang dapur.
“Gaya hidup mereka mungkin sedaif-daifnya tapi tanpa kita sedar, duit yang mereka simpan tu lebih kaya daripada apa yang orang tempatan kita ada. Manakala kita ni pula hidup kononnya nak terpaling mewah. “Pengalaman aku kerja pemandu e-hailing dan ambil penumpang orang Bangladesh, mereka ni selalu murah hati bagi aku tip yang banyak. Berbeza dengan orang kita yang hidup nampak gah, tapi suka minta diskaun tambang,” kata pelayar.
Dalam pada itu, segelintir warganet pula berpendapat pekerja asing mampu hidup dalam keadaan sebegitu kerana menyalahgunakan hak rakyat Malaysia. “Memang mereka tak perlu duit berkepuk untuk hidup dekat Malaysia, sebab mereka banyak guna barang subsidi. Minyak masak yang kerajaan subsidikan untuk rakyat Malaysia tu selamba mereka sauk. Logik la cukup belanja RM200 sebulan.
“Mereka tak berkira nak bagi duit dekat keluarga, tapi untuk diri sendiri kedekut sampai rampas hak warganegara. Berapa banyak kos rawatan mereka di hospital kerajaan yang tak berbayar, tahu hutang je memanjang. “Mereka ni dimanjakan, sedap je mereka manfaatkan kemudahan dalam negara tanpa perlu bayar cukai, dah macam parasit. Belum masuk lagi sikap pengotor mereka dan bermacam jenayah yang mereka buat dalam Malaysia,” dakwa beberapa lagi pelayar.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.