Pakcik ni caj servis e hailing dari Melaka ke KLIA RM90, tak sangka rupanya ada kisah yang terpendam

BEKERJA sebagai pemandu e-hailing bukan sekadar memperoleh pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup sendiri, malah menyara keluarga terutama isteri dan anak-anak. Namun pada masa sama, ada segelintir mereka sanggup berada di atas jalan demi mencari ketenangan, mengisi masa lapang dan membahagiakan diri sendiri. Seorang lelaki mula tersentuh hati dengan kisah pemandu e-hailing yang menawarkan tambang di bawah harga pasaran.

Bayangkan perjalanan dari Melaka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor sejauh kira-kira 130 kilometer sepatutnya caj penghantaran boleh mencecah lebih RM200. Bagaimanapun menurut lelaki itu, dia hanya perlu membayar RM90, jumlah yang dianggap amat berpatutan bagi perjalanan sejauh itu. “Kereta buat hal. Nak kena outstation ke Sabah, jadi saya buat sedikit perbandingan harga naik bas dan e-hailing untuk ke KLIA dari Melaka. Tu dia, langit bumi.

Kalau naik bas, kos dalam RM60 je termasuk e-hailing dari rumah ke Melaka Sentral. Naik satu e-hailing ni, kos RM200 ke atas, tak termasuk tol. Saya buka e-hailing lain dan cuba buka harga tawaran. Tiba-tiba ada seorang pemandu tawar harga RM90. Lelaki Melayu pencen. Saya terus terima,” kata lelaki itu menerusi perkongsian di Facebook Zaim Zin. Sepanjang perjalanan dari Melaka ke KLIA, Zaim berkata, dia dan pemandu tersebut berbual tentang banyak perkara.

Pemandu lelaki berusia 60-an itu mendedahkan dia sebenarnya tinggal di Selangor namun sudah tiga hari outstation di Melaka. “Saya bukan duduk di Melaka, saya duduk di Dengkil. Tiga hari lepas saya ada klien minta hantar ke Melaka. Lepas hantar, saya stay buat e-hailing di sini. Ni kira balik rumah la. Tiga hari dah berpusing di Melaka. Patut la dia okay harga tu. Tapi saya macam kagum dia boleh bebas memandu dan kerja macam tu,” ujarnya yang mengimbas kembali perbualan tersebut.

Hal itu mencetuskan tanda-tanya Zaim mengenai latar belakang pemandu berkenaan, khususnya mengenai keluarga. Malah sepanjang perjalanan, dia turut tertanya-tanya tentang pelekat kenderaan orang kurang upaya (OKU) yang disedarinya ditampal pada cermin hadapan kereta pemandu itu. “Tuan, mohon maaf saya bertanya. Pelekat OKU ni siapa punya? Saya tanya untuk korek cerita perjuangannya,” soal Zaim.

Pemandu itu kemudian mendedahkan pelekat tersebut adalah kepunyaan isterinya yang merupakan OKU, namun cerita lanjutnya ternyata mengundang sebak. “Itu bukan saya punya, itu pelekat isteri saya. Dia baru pergi menghadap illahi bulan dua hari tu. Selalunya, dia yang duduk sebelah ni. Saya driver dia sepanjang dia sakit,” ujarnya. Pendedahan pemandu itu membuatkan Zaim terdiam sejenak, yang kemudian meminta maaf dan mengucapkan takziah di atas pemergian si isteri.

Menurut Zaim, pemandu itu dikurniakan empat cahaya mata, dua daripadanya sudah bekerja, manakala dua lagi menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT). “Kemudian dia sambung kisah isteri dia berjuang sakit dalam hidup. Suaranya bergetar. Kadang-kadang seperti tertahan-tahan. “Lebih 30 tahun mereka hidup bersama. Sekarang lelaki ini keseorangan, rumahnya cuma ada dia seorang.

“Ini bukan sekadar e-hailing, ini e-healing untuk dia. Perjuangan meneruskan hidup keseorangan, gaya lelaki pencen moden yang setia,” katanya. Menerusi ruangan komen pada hantaran sama di Facebook, Zaim sekali lagi menegaskan harga tambang RM90 itu ditawarkan sendiri pemandu tersebut bagi perjalanan dari Melaka ke KLIA. “Harga tu pakcik tu yang bagi. Dia memang cari trip nak balik Dengkil,” jelasnya lagi.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Exit mobile version