Kali terakhir jumpa masa hari raya aidiladha, Abang luah rasa rindu pada arwah Nur Farah Kartini

“SUNGGUH aku rindu sangat,” demikian luahan hati abang kepada Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah, Mohd Farriza Azmi, 28, pada pagi Isnin. Bersama hantaran terbaharu itu di laman sosial, Mohd Farriza turut berkongsi rakaman video dirinya bersama arwah sedang mesra bergurau di dalam kereta, mengikut trend TikTok. Semakan mendapati video tersebut pada asalnya dimuat naik arwah di akaun TikToknya pada Oktober 2022.

“Sama ayang (tidak), sama abang (ya),” menurut keterangan video tersebut. Berkongsi cerita, Mohd Farriza berkata, adiknya berusia 25 tahun sememangnya berperwatakan manja dan ceria, terutama dengan abang-abangnya. “Kami tak selalu buat video bersama, biasanya hanya gambar bersama. Tapi arwah manja orangnya, jadi dia buat video bersama saya.

“Memang saya rindu dengan arwah, rindu segala-galanya pasal dia. Satu-satunya adik saya kan. Paling rindu dengan senyuman dia yang manis, masih teringat sampai sekarang dan tak akan lupa sampai bila-bila. Cara arwah bercakap dengan saya pun tak sama dengan cara dia bercakap dengan orang lain. Dia manja dengan abang-abang dia, tapi saya abang yang paling rapat dengan dia,” katanya ketika dihubungi.

Nur Farah Kartini merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan anak perempuan tunggal dalam keluarga, manakala Mohd Farriza adalah anak keenam. Menurut Mohd Farriza, arwah adiknya mesra dengan panggilan Nono dalam kalangan keluarganya di Miri, Sarawak. “Kami sekeluarga panggil dia Nono. Nama tu kalau cakap, memang orang tak akan tahu. Sebab abang-abang dengan mak je panggil dia Nono,” ujarnya yang bekerja sebagai jurukimpal.

Bercerita lanjut, dia masih terkenangkan pertemuan terakhirnya bersama arwah ketika sambutan Hari Raya Aidiladha di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor. “Itu last kami berjumpa, katanya nak sangat masak untuk saya. Tak tahu kenapa dia bersungguh sangat nak masak.

Jika hendak diikutkan Farah ni tak selalu masak. kalau balik kampung di Miri pun mak yang masak. Selama 25 tahun sejak arwah lahir pun, dia tak pernah masak Laksa Sarawak, dan hari tu dia nak masak. Tak sangka dapat rasa air tangan terakhir dia. Memang rindu dan masih teringat laksa Sarawak masakan dia,” katanya sebak. Bapa kepada seorang cahaya mata itu turut terkilan kerana kebanyakan video dan gambar dirakamkan menggunakan telefon arwah adiknya.

“Banyak gambar dan video kami dalam telefon arwah. Sebab kalau bab kamera telefon dalam kalangan kami, telefon arwah yang paling awal ambil gambar. Sebab banyak gambar dirakamkan guna telefon arwah. Yang ada dalam telefon kami dan dihantar daripada arwah itu akan kami jadikan kenangan,” katanya lagi. Terdahulu, misteri kehilangan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu terjawab apabila mytnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada 15 Julai 2024.

Bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu disyaki dibunuh selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Tanjung Malim, Perak. Susulan itu, suspek berusia 26 tahun yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai 2024 bagi membantu siasatan. Pada Isnin, tempoh reman terhadap suspek disambung selama tujuh hari lagi bermula 23 hingga 29 Julai ini untuk siasatan lanjut dapat dijalankan.

Perintah reman terhadap suspek itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Majistret, Nurul Mardhiah Mohammed Redza. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sumber: MStar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.