Harap jadi pengajaran pada orang lain, Nabila Razali kena denda sebab ibu pandu kereta tanpa cukai jalan

PENYANYI dan pelakon Nabila Razali tampil membuat permohonan maaf selepas dia dan ibunya disabitkan bersalah atas empat pertuduhan membenarkan dan memandu sebuah kereta dengan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans pada Januari lalu.

Menerusi satu kenyataan media yang dihantar, Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 31, mengakui kesalahan yang dilakukan dan enggan memanjangkan serta mensensasikan perkara berkenaan. Nabila bagaimanapun menjelaskan kereta itu telah dihadiahkan kepada ibunya iaitu Shamsidah Abdul Rahman, 58, namun masih belum ditukar hak milik atas geran kenderaan tersebut.

“Sebenarnya kereta itu saya hadiahkan kepada ibu dan masih atas nama saya, jadi apabila terdapat kesalahan jalan raya membabitkan kenderaan itu, sekali gus sebagai pemilik saya terpalit juga. Diakui pada hari kejadian kereta itu dipandu ibu. Perkara itu juga sudah dibawa ke mahkamah dan ibu mengaku salah selaku orang kena saman (OKS),” katanya.

Dalam pada itu, Nabila berharap perkara yang berlaku ini dapat memberi pengajaran buat dirinya dan seluruh masyarakat agar sentiasa mematuhi undang-undang. “Semoga kejadian ini menjadi pengajaran bukan sahaja buat saya dan ibu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Sekali lagi sebagai pemilik kereta ini saya mohon maaf,” ujarnya.

Susulan kesalahan itu, Nabila dan ibunya iaitu Shamsidah didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka pada Isnin. Pada 9 Januari lalu, Shamsidah menggunakan kenderaan di atas jalan raya dengan LKM tamat tempoh pada 29 September serta tanpa polisi insurans. Kesalahan itu berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi di Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.