Seorang wanita yang mengaku sebagai sepupu Abang Bas memberitahu pemuda tersebut direhatkan daripada media sosial buat semnetara waktu. Menerusi komen yang ditinggalkan oleh wanita yang dikenali sebagai Sofflina dalam sebuah hantaran, dia berkata keputusan itu dibuat bertujuan untuk jernihkan semula keadaan selepas Abang Bas dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM40,000, baru-baru ini.
Sofflina berkata sedemikian menjawab permintaan netizen yang berharap pemandu bas tersebut mempunyai akaun TikTok baharu setelah akaun lamanya dengan lebih 600,000 pengikut disekat. Dalam perkongsian tersebut itu juga, dapat dilihat Abang Bas bersama peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menjamah hidangan di sebuah restoran. Sementara itu, Sofflina menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang menyokong Abang Bas sepanjang tempoh ditahan pihak berkuasa.
“Saya sepupu dia (Abang Bas), buat masa ini kami minta dia elakkan dari TikTok dulu biar keadaan sejuk dulu. Terima kasih kerana sokong dia,” katanya. Terdahulu, Abang Bas yang diwakili peguam secara probono, Ahmad Zaharil dibebaskan daripada pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan dengan bayaran jamin berjumlah RM40,000.
Bukan itu sahaja, keluarga Abang Bas dikatakan mahu saman selebriti serta individu yang didakwa mengundang syak wasangka serta kritikan terhadap lelaki itu sepanjang ditahan polis. Pun begitu, beliau berkata individu atau selebriti yang terlibat masih diberi peluang untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Abang Bas sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan selanjutnya.