Kawasan keliling dah terbakar tapi rumah warga Indonesia selamat, rupanya ini rahsia dia

“SEBAGAI umat Islam, kalau sesiapa pun dilanda musibah seharusnya kita sama-sama mendoakan,” demikian luah Shima Ghazali, antara rakyat Malaysia yang lama tinggal di California, Amerika Syarikat. Shima yang menetap di San Diego, terletak kira-kira dua jam perjalanan dari lokasi kebakaran besar di Los Angeles berkata, walaupun dia sekeluarga tidak terkesan dengan kejadian itu tetapi rasa simpati terhadap mangsa yang terjejas tetap wujud dalam diri.

Menyedari tentang tanggapan ramai yang mengaitkan bencana itu dengan balasan Allah terhadap sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel yang memusnahkan Palestin, Shima berkata musibah sebenarnya tidak mengenal sesiapa walaupun seseorang itu beragama Islam atau sebaliknya malah masjid di kawasan tersebut turut terjejas.

“Ia sangat menyedihkan, ramai juga orang muslim yang terkesan. Malah, Masjid Al Taqwa di Altadena juga terbakar dalam kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi. Bercerita lanjut, Shima berkata kedudukan geografi yang terletak berhampiran pantai dan angin yang cukup kuat menyebabkan kebakaran merebak dengan sangat pantas dan sukar dikawal. “California amat kering dengan hujan hanya sekali dalam tempoh tiga, empat bulan dan ini menjadikannya bertambah buruk.

“Selain itu, faktor rumah di sini yang diperbuat daripada plywood (papan lapis) berbanding batu bata turut menjadikan kebakaran lebih cepat berlaku,” katanya. Dalam pada itu, dia juga mengakui kejadian yang berlaku sejak awal Januari itu adalah terburuk pernah dialami sepanjang menetap lebih 10 tahun di California. Ditanya sama ada terdapat rakyat Malaysia terkesan dengan kejadian berkenaan, Shima melahirkan rasa syukur kerana tiada rakyat kita yang tinggal di kawasan tersebut.

“Paling hampir sekitar Pasadena, boleh diibaratkan jarak antara Kuala Lumpur dengan Petaling Jaya, walaupun tiada kebakaran tetapi kualiti udara tidak berapa baik disebabkan asap kebakaran,” katanya. Shima turut berkongsi tentang seorang kenalan rapatnya yang menetap di Malibu iaitu salah sebuah kawasan kebakaran, yang langsung tidak terjejas walaupun keadaan sekeliling sudah musnah dijilat api.

“Kawan saya tu orang Indonesia yang berkahwin dengan lelaki Inggeris, bayangkan keliling terbakar tetapi rumahnya tak kena langsung. Dia sendiri terkejut. Bila saya ingat semula, dia ni orang yang sangat suka menderma, dia banyak tolong masyarakat Orang Asli Papua New Guinea,” katanya sambil menambah, ketika kejadian rakannya itu tiada di rumah.

Kebakaran hutan yang melanda Los Angeles, California sejak 6 Januari lalu menjadi tumpuan dunia apabila ia disifatkan bencana paling buruk di negeri tersebut. Api yang mula marak di kawasan Pacific Palisades merebak dengan pantas ke Pasadena susulan angin kencang berterusan. Dianggarkan lebih 12,000 hektar kawasan di seluruh Los Angeles terbakar sehingga memaksa ribuan penduduk berpindah susulan api marak dan masih tidak terkawal. Umat Islam yang menetap di bandar ini pula dianggarkan kira-kira 500,000 dengan 38 buah masjid dibina bagi memudahkan masyarakat Islam setempat beribadah.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *