ISTERIĀ Along Cham terkejut mendapat tahu pelawak berkenaan memaklumkan urusan berkaitan mahkamah syariah sudah pun selesai di media sosial miliknya pada Selasa. Afreena Suhaimi atau mesra disapa Feena, 33, berkata, dia tidak menerima sebarang makluman berhubung sebarang urusan membabitkan rumah tangga mereka daripada pihak mahkamah. Malah kata Afreena, sebagai isteri hatinya turut hancur apabila Along memberi gambaran dia sudah pun kembali bujang.
“Saya tidak menerima sebarang makluman dari mahkamah syariah. Apa yang saya tahu sepatutnya perkara ini melibatkan dua pihak. Macam mana dia boleh kata bujang sedangkan mahkamah tidak panggil saya? Saya terkejut apabila mendapat tahu perkara ini. Hati saya remuk dan hancur. Saya tidak tahu apa-apa,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Afreena mengulas perkara tersebut selepas Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, memberi bayangan dia sudah kembali solo dan semua urusan di mahkamah syariah dipercayai membabitkan isu rumah tangganya sudah pun selesai. Malah pelawak itu turut tinggalkan tanda pagar ‘Arbaie bujang kembali’ iaitu merujuk kepada sebuah drama arahan Allahyarham Mamat Khalid yang ditayangkan menerusi slot Cerekarama TV3 pada tahun 2000.
Dalam pada itu, Afreena memberitahu dia pernah menghubungi Along bagi membincangkan kemelut rumah tangga mereka namun tidak berhasil. Malah dia pernah memujuk Along kerana tidak mahu perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan. “Saya ada hubungi Along dan bercakap secara baik untuk pujuk dia. Siapa yang berkahwin untuk berpisah? Sekarang ini apa yang saya tahu, status saya masih lagi isterinya,” jelasnya.
Pada 28 Januari lalu Along mengejutkan ramai pihak apabila muncul di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi memfailkan lafaz taklik terhadap Feena. Dia kemudian diminta untuk melakukan urusan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah Sepang kerana alamat rumahnya dalam daerah berkenaan. Untuk rekod, Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 dan ini merupakan perkahwinan kedua buat mereka.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.