Jadikan ibu sebagai suri teladan, Scha Alyahya akui rasa tiada tujuan hidup lepas ibu pergi menghadap illahi

Advertisements
Advertisements

“Bila ibu meninggal, saya rasa dah tak ada tujuan dalam hidup,” demikian ungkapan yang boleh menggambarkan kesedihan yang dirasai pelakon dan pengacara, Scha Alyahya selepas kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Junainah Hashim pada 7 Disember, tahun lalu. Mengangkat arwah ibu sebagai suri teladan, Scha mengakui satu kehilangan besar seperti melayang jiwa dan semangat dalam diri. Ketika sesi podcast Wardah Heart to Heart bersama Dayah Bakar, Scha yang tidak dapat menahan sebak berkata dia masih perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

“Semasa ibu saya pergi menghadap illahi pada Disember, itu perkara yang paling saya takut. Saya rasa macam hidup ini sudah tidak ada tujuan. Ibu saya adalah suri teladan (role model) saya. Dia sangat kuat. Ramai yang cakap dia ada dalam diri saya ke mana saja saya pergi. Tetapi saya masih dalam proses bersedih (grief). Memang akan ambil masa. Saya bukan cuba untuk move on tetapi kena move forward. Itu yang saya sedang cuba lakukan,” ceritanya.

Kata anak kedua dalam adik-beradik, dia sangat rapat dengan ibunya dan segala perihal akan dikongsi bersama. “Rutin saya ketika ibu masih ada, saya akan hubungi setiap masa. Rumah dia dalam 10 minit saja dari rumah saya. Bila saya keluar bekerja atau melancong ke luar negara, saya akan video call dia sekurang kurangnya dua atau tiga kali. Bila saya dapat skrip, ibu saya yang akan baca. Bila ibu dah tak ada sekarang, saya rasa satu kehilangan besar dalam hidup.

Sepanjang berada dalam industri, saya tak pernah tunjuk saya menangis. Saya tak suka menangis depan orang sebab rasa tak perlu. Saya tak suka perhatian dan publisiti,” katanya. Dedah pengacara berumur 41 tahun itu, ibunya merupakan individu yang memainkan peranan membuka laluan untuk dirinya bergelar anak seni. “Saya pernah jadi pramugari sebelum ini. Bila dah dapat apa saya nak, saya berhenti. Bila ibu saya tengok saya tak buat apa-apa, dia yang hantar borang untuk masuk pertandingan Dewi Remaja 2005/2006.

Saya masuk dan menang, alhamdulillah. Ketika itu, saya rasa diri saya macam tak layak masuk dalam industri. Tetapi rezeki tertulis dalam bidang ini, saya teruskan mencuba juga. Dan 19 tahun masih di sini, saya rasa itu berkat doa ibu saya,” ujar pelakon drama bersiri Awan Dania. Mengakui tidak mampu untuk menanggung sakit seorang diri, pemilik nama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya memberitahu dia akan meluangkan masa berdua bersama Allah SWT.

“Sejak ibu saya pergi, saya ada satu rutin baru. Saya akan duduk dan renung diri. Saya buat terapi sendiri iaitu bercakap dengan Allah. Sangat sakit untuk saya simpan sendiri. Sejak akhir-akhir ini, kawan saya pun ramai yang diduga dengan kehilangan. Saya cakap dekat mereka apa yang boleh dibuat adalah duduk atas sejadah dan amal beberapa surah untuk diri dan juga arwah. Semua makhluk atas muka bumi ini menjalani kehidupan sementara jadi kita kena selalu cakap dekat diri sendiri untuk sentiasa bersedia. Kena beringat,” katanya.

Dalam pada itu, isteri kepada Awal Ashaari turut mengingatkan individu yang masih mempunyai ibu bapa untuk menghargai dan berbakti sepanjang hayat mereka. “Sejak ibu saya meninggal, saya selalu ingatkan dekat kawan-kawan selagi ada jaga. Tak kisah la ada momen tak bercakap atau pernah bergaduh. Saya nasihatkan untuk letak tepi semua itu kerana kita tak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita.

Allah boleh ambil bila-bila masa saja. Allah boleh uji macam-macam dalam sekelip mata. Kita tak nak, apabila sudah terjadi baru nak sedar. Jadi, saya harap kalau ada orang yang kita sayang, kita luahkan rasa sayang itu supaya tidak menyesal di kemudian hari. Tak kisah sama ada menerusi kiriman mesej, panggilan telefon atau pulang terus ke kampung,” katanya lagi.

Sumber: Gempak. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *