Penyanyi, Datuk Nora Ariffin tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila suaminya, Dr. Rushdi Ramli tidak melafazkan cerai pada prosiding sebutan pertama perceraian mereka hari ini. Ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pemilik nama Wan Norafizah Ariffin, 52, berkata, dia tidak menyangka Dr. Rushdi masih sayang terhadapnya. Bagaimanapun Nora berkata pertimbangan harus dilakukan sekiranya perceraian tidak berlaku.
“Apa yang difahamkan, Dr. Rushdi menolak untuk perceraian ini. Saya mohon ruang untuk melalui semua ini dan perlu fikir kalau teruskan (rumah tangga) adakah akan jadi perkara sama dan sebagainya. Seronok juga (suami membantah perceraian) sebab rupa-rupanya dia masih sayang pada saya. Tetapi kena fikir langkah seterusnya macam mana. Kami tak bermusuh dan tiada benda yang nak benci dia. Sebab dia terlalu baiklah jadi begini. Namun, saya berserah.”
Ketika ditanya sama ada dia mahu mencipta drama rumah tangga, Nora menegaskan tindakannya dalam memfailkan perceraian bukan sengaja mahu mencipta sensasi. “Saya bukan nak cipta situasi atau buat drama. Saya tak perlukan semua itu dan hanya mahu bersihkan nama saya. Tindakan saya fail cerai pun sebab sudah terlalu penat melalui semua ini. Memang boleh bertahan tetapi sampai bila?
Saya sudah buat apa yang patut dilakukan. Hari ini pun keputusan dia tidak dipengaruhi mana-mana pihak. Walaubagaimanapun, saya sebagai isteri, perlu hormat dan berbincang selepas ini.” Sementara itu, Nora turut berkata perbincangan bersama pihak suami akan dilakukan sekiranya diperlukan. Nora yang juga sedar kisah rumah tangganya menjadi bualan netizen mengakui penat berdepan dengan konflik yang berlaku terutama apabila melibatkan pihak ketiga.
“Bagi saya, selagi saya tak buat benda negatif seperti orang cakap dan ada arah yang jelas, okey sahaja. Saya bukan buat benda jenayah dan perkara berdosa. Namun, perkara ini memang menjejaskan kerjaya seni. Pengalaman saya sebagai penyanyi selama 30 tahun tercalar begitu sahaja disebabkan perkara sebegini.
Orang memilih untuk bercakap tentang rumah tangga saya berbanding kerjaya seni. Jadi, saya terlalu penat untuk melalui semua ini, cukuplah.” Mengulas lebih lanjut, Nora berkata tidak ada siapa yang mahukan perpisahan. “Saya pernah melalui bercerai mati dan sebagai isteri, siapa yang mahukan perpisahan.
“Namun, kalau ini yang terbaik untuk saya dan anak-anak, memang perlu lalui juga walaupun perit sebab tak tahu apa yang Allah SWT sudah tulis. Hari yang mendatang, saya perlu duduk bertafakur dan berfikir. Sekurang-kurangnya sudah lakukan peekara sepatutnya untuk keluar dari persekitaran toksik. Mengalah juga bukan bererti kita kalah. Hidup pun perlu diteruskan.”
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini menetapkan 4 Jun sebagai tarikh sebutan kedua kes perceraian Nora dan Dr Rushdi. Peguam yang mewakili Nora, Sarah Mohd Ali berkata, ini bagi membolehkan pasangan tersebut menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Rushdi enggan menceraikan Nora pada prosiding yang berlangsung hari ini.
Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.