Meskipun sudah terbiasa berjauhan dengan suami, namun penyanyi Wany Hasrita mengakui bukan mudah menjalini perhubungan jarak jauh (PJJ). Ketika ditemui, Wany atau nama lengkapnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah SWT dan percaya pengorbanan suaminya adalah demi tanggungjawab terhadap keluarga.
“Tipulah kalau saya kata tidak sakit menahan rindu. Tapi saya dah terbiasa. Semuanya adalah aturan Maha Esa. Kita pujuk hati sebab tahu semua ini bukan demi dunia semata-mata. Ada tanggungjawab, ada pengorbanan yang perlu diberi keutamaan. Jadi, untuk soalan PJJ tu, Alhamdulillah, saya dah belajar terima.” Menurut penyanyi berusia 32 tahun itu, setiap kali ada kesempatan, dia dan anaknya akan bertemu dengan suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun yang bertugas sebagai juruterbang di Sarawak.
“Bila ada ruang dan masa, saya balik Sarawak. Itu memang rutin saya. Tak semestinya aktiviti besar pun. Jalan-jalan pun cukup. Kawasan rumah suami saya luas, ada rumput. Suami suka ‘grounding’ bersama anak dan saya pun ikut. Itu waktu tenang kami.” Wany berkata demikian pada sidang media pelancaran single terbaharunya yang berlangsung di Aloft Hotel, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, pelantun lagu Canggung tersebut tidak pernah putus harapan untuk berdoa agar suatu hari nanti dia dapat tinggal bersama suami. “Untuk tinggal bersama itu mestilah ada perancangan malah setiap kali solat, saya doa agar Allah bagi jalan yang baik. Rezeki pekerjaan, ruang untuk tinggal bersama, semua itu saya mohon supaya dapat hidup sebumbung dengan suami.
Namun macam saya cakap tadi, kita percaya kepada ketentuan tuhan, Dia tahu yang terbaik untuk kita.” Dalam perkembangan lain, Wany muncul dengan sebuah lagu ‘galau’ yang berjudul Jahat. Single tersebut juga merupakan runut lagu bagi drama bersiri Pabila Dia Tersenyum yang ditayangkan di platform Viu. Lagu penuh emosi meruntun jiwa itu mendapat sentuhan daripada komposer popular Indonesia Audree Dewangga, David Elsandro, Andre Lizt dan Trakast, di bawah terbitan Sony Music Malaysia. Untuk rekod, Wany dan suami mendirikan rumah tangga pada 22 Julai 2022 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Aishah Al Iman yang kini berusia hampir dua tahun.
Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.