Qoala hari ini akan menerangkan pelbagai info mengenai cara mengatasi microsleep dengan lebih lanjut. Cuba bayangkan situasi ini. Perjalanan masih jauh. Anda sedang mengalami kepenatan dan sedang memandu pulang ke rumah pada lewat malam. Mata kemudiannya menjadi terlalu berat dan anda menahan mengantuk seboleh-bolehnya. Teruskan perjalanan atau berhenti seketika?
Kemalangan boleh berpunca daripada macam-macam sebab. Antaranya adalah daripada pemanduan seorang pemandu yang mabuk, masalah teknikal kereta, jalan raya yang tidak selamat dan banyak lagi. Tapi ada punca lain yang sering menjadi asbab utama kemalangan adalah microsleep. Namun kemalangan yang disebabkan microsleep ini masih tidak disedari ramai. Microsleep adalah satu situasi dimana seseorang itu tertidur dalam masa yang singkat tanpa disedari dan ianya berlaku sangat pantas dalam tiga hingga ke lima saat tanpa sebarang amaran.
Kejadian microsleep ini sering berlaku terhadap individu yang sedang mengantuk dan cuba untuk menahan mengantuk dan kekal berjaga. Kebiasaannya, individu yang mengalami hal ini tidak menyedari yang mereka sedang tertidur. Microsleep tidak menjadi masalah sekiranya anda berada di rumah tapi ia mendatangkan kemalangan yang amat bahaya apabila individu tersebut sedang memandu dan mengalami microsleep walaupun cuma untuk beberapa saat sahaja.
Simptom-simptom Microsleep
Walaupun microsleep sukar dikenalpasti kerana ia berlaku dalam kita tak sedar, kita masih boleh dapat mengenalpasti simptom-simptomnya. Antara simptom microsleep adalah;
- Lambat bertindak balas terhadap sebarang maklumat.
- Pandangan kosong, fikiran menerawang jauh.
- Terjatuh sesuatu yang dipegang.
- Kepala terlentuk.
- Mata lambat berkedip.
- Terkejut atau tersentak secara tiba-tiba
- Sukar untuk mengingati apa yang berlaku 1 atau 2 minit lepas.
Untuk pengetahuan, microsleep boleh berlaku walaupun ketika itu mata sedang berjaga dan masih terbuka. Jika badan anda mula mengalami tanda-tanda dibawah, ia bermakna anda boleh mengalami situasi microsleep. Antara tanda-tanda amaran microsleep yang membawa bahaya adalah:
- Tidak mampu atau terlalu sukar untuk memastikan mata sentiasa terbuka
- Menguap berlebihan atau kerap
- Tersentak secara tiba-tiba
- Mata berkelip lebih kerap dari biasa
- Memandu keluar dari laluan atau lorong tanpa anda sedari dan secara berbahaya
- Berulang kali menguap
- Terlepas jalan keluar
- Kelopak mata terasa berat
Apakah Punca Microsleep?
Lazimnya, microsleep sering dikaitkan dengan rasa mengantuk yang melampau dengan gabungan tugas yang membosankan seperti memandu, membuat assignment, dan banyak lagi. Ia juga kerap terjadi pada individu yang tidak cukup tidur untuk satu tempoh masa yang lama. Makin lama anda menahan mengantuk, makin tinggilah potensi anda untuk mengalaminya. Kurang tidur boleh terjadi daripada pelbagai hal seperti gangguan tidur iaitu insomnia atau pun tidak mendapatkan tidur yang berkualiti akibat faktor-faktor yang lain.
Apabila kita dalam keadaan mengantuk, sebahagian otak kita sebenarnya mula tertidur walaupun secara fizikalnya kita masih terjaga namun hakikatnya otak kita tidak berfungsi sepenuhnya. Selain itu, microsleep juga boleh berpunca daripada gangguan tidur seperti penyakit yang dikenali sebagai obstructive sleep apnea. Ia boleh mengakibatkan seseorang individu itu mempunyai tidur dalam tempoh waktu yang mencukupi namun tidak dapat tidur yang berkualiti kerana gangguan seperti sekatan pada saluran pernafasan.
Dunia yang maju dengan teknologi kini turut menjadi penyumbang kepada individu-individu yang tidak dapat rehat dan tidur secukupnya. Rutin pekerja syif, mengamalkan dua atau tiga pekerjaan pada satu masa, belajar dan bekerja pada satu masa yang sama, tidak mempunyai work life balance adalah punca-punca yang menyebabkan ramai individu tidak mendapatkan tidur yang cukup lalu mengakibatkan microsleep.
Apa yang lebih merisaukan adalah apabila pemandu yang memandu dalam keadaan tidur yang tidur cukup mempunyai kesan yang sama pada tubuh seseorang pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Mereka yang berjaga 18 jam tanpa tidur didapati mempunyai kesan khayal yang serupa dengan seseorang individu yang mempunyai bacaan alkohol dalam darah setinggi 0.05 BAC atau ‘blood alcohol content.’
Bahaya Lelap Sesaat Ketika Memandu
Jangan terkejut sekiranya jalan yang lurus juga boleh membuatkan kenderaan anda terbabas akibat daripada anda terlelap walaupun sesaat. Microsleep ketika memandu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Namun, individu yang paling berisiko adalah individu-individu yang mempunyai kekurangan tidur atau mereka yang melakukan sesuatu aktiviti yang monotonous dan berulang-ulang. Dalam situasi memandu, pemandu hanya dapat memandu dan memberi fokus 100 peratus pada pemanduan. Hal ini boleh menyebabkan pemandu mengalami microsleep kerana aktiviti yang membosankan.
Perjalanan yang jauh dan lurus boleh menyebabkan seseorang individu yang tidak cukup tidur mengalami microsleep. Walaupun ianya hanya berlaku untuk beberapa saat, kereta anda boleh melencong ke laluan lain dan menghentam kereta lain lalu menyebabkan kemalangan berat. Jika jalan itu tersebut kosong dan tidak mempunyai kenderaan lain selain anda, kereta anda juga boleh terbabas ke bahu jalan menghempap pokok akibat daripada microsleep. Ini kerana anda boleh hilang kawalan dalam tumpuan secara tiba-tiba.
Ia boleh mengakibatkan kemalangan dengan kecederaan yang serius. Malah lebih teruk, ada juga yang maut akibat daripada perkara ini.
Cara Mengatasi Microsleep
Cara mengatasi microsleep yang paling utama adalah dengan memastikan diri anda untuk mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti pada waktu malam. Antara jumlah waktu tidur yang disyorkan untuk golongan dewasa adalah tujuh hingga ke lapan jam sehari. Bagaimana untuk mendapat tidur yang berkualiti? Untuk mendapatkan tidur yang berkualiti ia bermula daripada disiplin diri. Antara perkara yang anda perlu lakukan adalah:
- Elakkan pengambilan kafein dan alkohol terutama jika badan sudah letih. Cara mengatasi microsleep dan untuk mendapatkan tidur yang berkualiti adalah dengan tidak mengambil mana-mana minuman yang mempunyai kafein dan alkohol. Ini akan membuatkan badan anda tidak boleh tidur
- Padam dan tutup lampu, televisyen, atau radi
- Hindari sebarang aktiviti yang boleh merangsang kecerdasan
- Kekal suhu bilik pada tahap yang selesa
Misal kata anda terasa sangat mengantuk pada sebelah siang, jangan terus memaksa diri anda untuk berjaga. Ia akan lebih memudaratkan. Sebaliknya, berikan ruang dan masa untuk diri anda tidur dalam tempoh masa yang singkat. Ini dipanggil power nap. Power nap hanya memerlukan 20 minit untuk membantu anda untuk menjadi lebih segar dan bertenaga. Elakkan mengambil masa yang lama, lebih daripada 20 minit untuk power nap. Ia boleh mengakibatkan anda rasa lebih mengantuk dan lesu.
Ketika Memandu
Sekiranya anda memandu berseorangan, cara mengatasi microsleep adalah memastikan minda anda segar dengan perkara-perkara yang menenangkan dan tidak melalaikan. Sebagai contoh, pastikan anda membuka radio. Radio boleh dijadikan sebagai peneman. Muzik atau podcast kegemaran anda boleh mengurangkan rasa mengantuk. Jika anda penumpang lain dalam kenderaan, pastikan anda berbual dengan penumpang yang lain. Ini untuk mengelakkan diri anda daripada rasa mengantuk.
Namun, jika rasa mengantuk yang teramat, cara mengatasi microsleep yang seterusnya untuk berhenti dan tidur selama sepuluh minit. Jika anda melalui lebih raya, anda boleh ke pusat rawat dan rehat dan jika anda berada di jalanraya biasa, anda boleh pergi ke tempat-tempat yang selamat untuk anda berhenti sekejap. Kebanyakan cara mengatasi microsleep ini adalah dengan memastikan anda mendapatkan tidur yang cukup. Walau bagaimanapun, ramai yang masih tak sedar tentang kepentingan mendapatkan tidur yang cukup ini.
Jangan Pandang Enteng Soal Tidur
Jika kita mendalami lagi isu ini, ia berpunca daripada tidur yang tidak mencukupi. Kajian menunjukkan 89 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah untuk melelapkan mata. Sembilan daripada 10 orang di Malaysia mengalami satu atau lebih masalah untuk tidur. Ada apa dengan tidur sebenarnya? Apakah kepentingan tidur? Nampak remeh, tapi badan kita amat memerlukan tidur yang baik untuk berfungsi dengan baik.
Manusia bergantung kepada tidur untuk mencapai fungsi kognitif. Walau bagaimanapun, hanya segelintir sahaja yang mendapatkan tidur yang berkualiti. bagi menghadapi hari mendatang dengan sihat, tidur lena melindungi seseorang daripada kerosakan kognitif yang berkaitan dengan penuaan selain membantu mengurangkan tanda-tanda (penuaan) secara fizikal.
Tidur juga amat penting untuk membenarkan otak dan tubuh badan berehat, juga memastikan hormon seimbang dan imuniti kepada penyakit. Kepentingan tidur tidak sekadar berkait dengan kecantikan malah ia boleh mengundang bahaya jika kita mengabaikan satu tabiat yang mudah.
Masalah ayng sering dialami ramai individu adalah masalah kurang tidur. Tanpa tidur yang cukup, anda bukan sahaja akan mengalami rasa penat sepanjang masa, malah anda juga berpontensi untuk mengalami kemerosotan fungsi insulin yang boleh menyebabkan sakit kencing manis.
Tidur Siang VS Tidur Malam
Tahukah anda, antara cara mengatasi microsleep yang lain adalah tidur malam? Ada orang suka berjaga pada waktu malam, dan tidur pada waktu siang. Ada orang lebih cenderung untuk melakukan tugas dan tanggungjawab pada waktu siang dan menikmati tidur pada waktu malam. Tapi, yang mana satu baik untuk kesihatan diri?
Tidur pada waktu malam ada banyak manfaatnya. Antaranya ialah:
- Jantung yang sihat
Tidak mendapat tidur yang mencukupi boleh mengakibatkan tekanan d4rh dan kolesterol. Ia sekali gus menjadi faktor punca sakit berkaitan jantung dan juga strok. Jantung kita akan menjadi lebih sihat sekiranya kita mendapatkan tidur yang cukup iaitu tujuh hingga ke lapan jam pada setiap malam.
- Mengurangkan tekanan
Apabila badan kurang tidur, ia boleh berada dalam keadaan yang tertekan. Badan akan berada dalam keadaan kewaspadaan yang tinggi. Situasi tersebut boleh menjadi punca kepada tekanan d4rh tinggi dan menggalakkan pengeluaran hormon tekanan.
Tekanan darah yang tinggi boleh meningkatkan risiko untuk mengalami tekanan jantung dan strok. Lebih memburukkan keadaan, hormon tekanan yang semakin banyak dalam badan akan menyukarkan lagi peluang anda untuk tidur.
- Mengurangkan kerengsaan
Peningkatan hormon tekanan yang berpunca daripada tidak mendapat tidur yang mencukupi boleh menyebabkan kerengsaan dalam badan anda. Keadaan ini pastinya boleh menyebabkan anda lebih terdedah kepada penyakit berkaitan jantung.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh berpotensi untuk mendapatkan masalah kesihatan seperti diabetes dan juga kanser. Kerengsaan dialami boleh menyebabkan fungsi badan semakin merosot seiring peningkatan usia.
- Meningkatkan kecergasan
Tidur yang cukup bukan saja penting untuk menghindari pelbagai sakit semata-mata, ia juga amat penting untuk meningkatkan kecergasan diri. Tidur yang cukup iaitu dalam jumlah tujuh hingga ke lapan jam dapat meningkatkan kecergasan anda pada keesokkan harinya.
Apabila badan rasa cergas, ia sekali gus dapat mengelakkan diri anda daripada mengalami microsleep sekiranya anda perlu membuat pemanduan yang jauh. Bila tak ada microsleep, dapatlah anda menuju ke destinasi pilihan dengan selamat.
- Dapat memperbaiki memori
Saintis masih tidak memahami mengapa kita tidur dan bermimpi. Tetapi mereka mendapati tidur memainkan peranan penting dalam proses yang dikenali sebagai penyatuan memori (memory consolidation).
Semasa tidur, badan mungkin berehat. Namun, otak sedang sibuk memproses hari anda, membuat sambungan peristiwa, input deria, perasaan dan kenangan.
Tidur yang lena penting untuk otak membuat hubungan dan kenangan, dan mendapat tidur yang berkualiti membantu anda untuk lebih mengingati dan memproses sesuatu perkara dengan lebih baik.
- Mengurangkan berat badan
Nak turunkan berat badan bukan sekadar dengan menjaga kalori dan bersenam. Tidur yang cukup juga penting. Tidur malam yang mencukupi dan berkualiti dapat membantu anda menurunkan berat badan, Mengikut kajian, individu yang tidak mendapat tidur yang cukup lebih cenderung untuk berdepan masalah obesiti atau berlebihan berat badan.
Ia mempunyai kaitan dengan kepentingan tidur terhadap keseimbangan hormon dalam badan yang mempunyai hubungan dengan selera makan.
Tidur siang boleh jadi salah satu cara mengatasi microsleep?
Tidur siang atau juga dikenali sebagai napping adalah merupakan salah satu cara mudah untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan diri. Ia dikatakan dapat memperbaiki prestasi ketika kerja dan tahap kewaspadaan seseorang individu walaupun selepas mendapat tidur yang mencukupi.
Namun tidur siang secara berlebihan bagi menggantikan tidur malam yang tidak mencukupi adalah tidak digalakkan. Ini kerana ia mungkin menjadi punca anda semakin sukar untuk melelapkan mata pada waktu malam. Kini anda sudah menyedari mengenai manfaat tidur malam kepada kesejahteraan diri. Jadi selepas ini mungkin anda boleh cuba untuk memberikan badan rehat yang secukupnya.
Manakala anda mungkin perlu menghindari tidur siang jika mendapati waktu tidur malam anda menjadi lebih sukar selepas napping. Jika keadaan anda semakin teruk, anda mungkin perlu berjumpa pakar bagi mendapatkan rawatan sewajarnya.
Apa Akibatnya Jika Tak Tidur Lebih Daripada 24 Jam?
Pernah tak anda mengalami situasi di mana anda tidak tidur lebih daripada 24 jam? Contohnya anda mengorbankan waktu tidur untuk belajar atau menyiapkan kerja yang tertunggak? Pernah? Tindakan ini sebenarnya amat bahaya kepada kesihatan diri jika anda melakukan dengan kerap. Mungkin tak nampak sekarang, tapi ia boleh menunjukkan kesan yang buruk pada masa jangka panjang.
Manusia kebiasaannya akan hilang keupayaan untuk menjalankan fungsi kognitif apabila mereka berjaga selama 17 jam tanpa tidur. Akibatnya? Anda akan mula rasa resah, rimas dan rasa letih yang melampau. Sekiranya anda terlanggar sesuatu, kesakitan yang anda alami terasa lebih daripada biasa. Badan manusia mempunyai sistem yang ingin mengekalkan kadar keseimbangan pada nilai sifar. Jika ada nilai positif atau negatif pada proses fisiologi badan, reaksi kimia lain akan berlaku bagi menyeimbangi perkara tersebut. Sistem ini dinamakan homeostasis.
Badan yang tidak cukup tidur akan menyebabkan otak anda untuk mengalami proses tidur setepam iaitu di mana sebahagian otak anda tidur dan manakala yang lain kekal aktif. Apabila proses tidur setempat tidak dapat memenuhi keperluan badan, anda mungkin akan tertidur sejenak iaitu microsleep.
Konklusinya, tidur yang cukup bukan saja diperlukan untuk mengelakkan diri anda daripada mengalami microsleep semasa memandu, tapi ia juga penting untuk kesihatan diri untuk jangka masa panjang.
Sekiranya anda ingin melakukan perjalanan yang jauh, pastikan diri anda mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi. Jika kita tidak mendapatkan rehat dan tidur yang cukup, dikhuatiri diri kita akan terlibat dalam kemalangan yang mencederakan diri. Kemalangan-kemalangan ini tidak dapat diduga. Kerana ini jugalah amat penting untuk anda mendapatkan perlindungan insurans kemalangan diri. Ia dapat meminimakan risiko buruk yang boleh anda alami.
Ingat, badan yang sihat turut memerlukan tidur yang cukup. Jangan pandang enteng mengenai hal tidur. Badan anda akan berterima kasih pada anda apabila anda mendapatkan rehat dan tidur yang cukup. Sampai di sini sahaja perkongsian yang dfapat Qoala kongsikan. Semoga info mengenai cara mengatasi microsleep ini dapat memberi manfaat. Sumber: Qoala.