Tahukah anda ada waktu paling sesuai untuk berdoa pada hari Jumaat. Ramai daripada kalangan kita tidak mengetahui cara Allah SWT menerima doa para hamba-Nya sehingga ada yang menyangka bahawa Allah tidak menerima doa yang dipanjatkan. Terdapat sebuah hadis yang membicarakan berkaitan hal tersebut sebagaimana riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda. Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim itu berdoa (dengan doa) yang tidak mengandungi dosa dan bukan bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT akan memakbulkannya (doa itu) dengan tiga cara; sama ada Allah akan memakbulkan doanya sesegera mungkin, atau Allah menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, atau Allah akan menjauhkan daripadanya kejelekan.”
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, apa yang boleh difahami daripada hadis tersebut bahawa terdapat empat cara Allah menerima doa para hamba-Nya, iaitu: Allah SWT akan memberikan kepada hamba-Nya di dunia sepertimana yang diingini oleh hamba tersebut. Adapun bagi cara ini terbahagi kepada dua iaitu sama ada terus dimakbulkan permintaan tersebut atau ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu sebelum dikabulkan. Allah SWT akan menyimpan doa tersebut di hari akhirat kelak kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut lebih memerlukannya di sana.
Allah SWT akan menjauhkan hamba tersebut daripada perkara-perkara yang buruk atau musibah yang berlaku kepadanya. Allah tidak memperkenankan doa tersebut kerana lebih baik beliau dalam keadaan begitu, berdasarkan ilmu Allah, maka itu lebih baik baginya. Justeru, tidak memperkenankan itu, adalah memperkenankan ke arah yang lebih baik. Selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari adalah waktu paling mustajab untuk berdoa.
Kemustajaban doa pada hari Jumaat
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, antara kelebihan dan fadhilat hari Jumaat, terdapatnya waktu di mana doa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadis, Nabi SAW menyebut tentang hari Jumaat, sabdanya: Maksudnya: “Pada hari tersebut ada satu ketika jika bertepatan seseorang Muslim yang mendirikan solat Jumaat memohon sesuatu kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT memperkenankannya.” Sambil bersabda, Baginda mengisyaratkan ketika yang sedikit itu dengan tangannya.
Waktu mustajab pada hari Jumaat
Zulkifli berkata, terdapat sebuah hadis yang sahih berkaitan hal tersebut. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga imam Muslim di dalam sahihnya dengan lafaz yang sedikit berbeza: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: (Maksudnya): “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah, pasti Allah akan memperkenankan permintaanya itu.” Melihat kepada hadis di atas, dapat difahami bahawa Allah SWT telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan dikabulkan pada waktu tersebut. Dalam masalah ini, terdapat beberapa pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi berdasarkan pendapat al-Qadhi ketika mensyarahkan hadis ini di dalam sahih Muslim, antaranya:
Pertama, Waktunya adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat. Pendapat ini disokong dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari. Kedua, Waktunya adalah selepas Asar sehingga terbenamnya matahari. Ketiga, Waktunya adalah ketika solat didirikan sehingga ia selesai. Keempat, Waktunya apabila imam keluar sehingga selesainya solat. Setelah melihat pendapat di atas,Zulkifli berkata, perbahasan yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dalam menentukan waktu yang mustajab ini. Dalam masalah ini, terdapat dua pendapat yang kuat dan keduanya bersandar pada hadis Nabi SAW.
Pendapat Pertama, Waktu yang dimaksudkan adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat, berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari. Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda apabila beliau ditanya oleh Ibn Umar tentang waktu yang mustajab tersebut: Maksudnya: Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SW berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ia adalah di antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan.” Pendapat ini juga mempunyai beberapa lagi hadis yang menyokong pendapat bahawa waktu mustajab tersebut adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat.
Pendapat Kedua, Waktunya adalah selepas Asar. Ini adalah pendapat yang lebih kuat berbanding dua pendapat yang kuat ini. Hujah bagi orang yang berpegang dengan pendapat ini adalah berdasarkan riwayat imam Ahmad, daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas Asar”. Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas Asar ”. Terdapat beberapa lagi hadith yang menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah selepas daripada Asar. Tambahan pula, diriwayatkan Said bin Jubair daripada Ibn Abbas RA telah berkata: Waktu yang dimaksudkan pada hari Jumaat adalah antara solat Asar sehingga terbenam matahari.
Adapun Said bin Jubair apabila beliau menunaikan solat Asar, beliau tidak akan bercakap dengan sesiapa sehingga terbenamnya matahari. Ini adalah pendapat sebahagian besar salaf dan pada pendapat ini mempunyai hadis yang banyak berbanding pendapat-pendapat yang lain. Sumber, mstar