Beroperasi siang dan malam. Skywalk Menara Kuantan 188 mempunyai tarikan terkini panaroma 360 darjah.

Muhammad Razin Al-Hakimi Al-Abror (kiri) dan adiknya, Yusuf Rizqn Al-Hakimi antara pengunjung terawal melakukan aktiviti Skywalk pada sebelah malam. Melepasi tempoh mencabar sepanjang pandemik Covid-19 sudah tentu dimanfaat sebaiknya untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarga misalnya. Musim cuti sekolah yang baru bermula sesuai untuk melakukan aktiviti kegemaraan walau di mana saja asalkan dapat mengeratkan hubungan bersama insan tersayang sama ada keluarga mahupun sahabat karib.

Jika negeri Tok Gajah menjadi pilihan, pastinya mercu tanda terkini bandaraya Kuantan iaitu Menara Kuantan 188 dicatat dalam senarai untuk dikunjungi terutama dengan kedudukannya yang megah berdiri di lokasi strategik di tebing Sungai Kuantan. Menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur yang dibuka secara rasmi sejak 15 Disember 2021 itu dibina berinspirasikan daun dan bunga pokok teruntum putih yang dulunya banyak tumbuh di kawasan persisiran Sungai Kuantan.

Menara Kuantan 188 disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Februari tahun lalu.Antara tarikan yang telah dibuka adalah melihat pemandangan unik bandaraya itu secara 360 darjah menerusi anjung tinjau tertutup di ketinggian 92 meter dan anjung tinjau terbuka pada ketinggian 104 meter. Ia dibuka kepada umum setiap tahun sehingga pukul 10 malam. Bermula 22 Februari baru-baru ini, sesuai dengan trend aktiviti lasak yang mencabar adrenalin, Menara Kuantan 188 menawarkan aktiviti Skywalk di anjung tinjau terbuka dengan kadar bayaran dikenakan sebanyak RM88.Bagaimanapun, faktor cuaca tetap diambil kira untuk aktiviti itu bagi menjamin keselamatan pengunjung dan baru-baru ini selain skywalker di waktu siang, dua beradik dari Sungai Buloh, Selangor mencatat sejarah menjadi pengunjung terawal melakukannya pada sebelah malam. Pengalaman menarik yang dilalui Muhammad Razin Al-Hakimi Al-Abror, 18 dan adiknya, Yusuf Rizqn Al-Hakimi, 12 ternyata mengujakan mereka.

Berani. Dua beradik ini menyifatkan pengalaman ‘tergantung’ di udara sebagai luar biasa dan menyeronokkan.Bukan sahaja berjalan di laluan anjung terbuka, malahan mereka yang sentiasa dipantau petugas di situ turut diberi peluang melakukan aksi umpama membuai di ketinggian 104 meter, selain berlari-lari anak bagi menguji tahap ketahanan mental dan fizikal. “Syok dan awsome, memang tak sangka dapat peluang ini sebab tak dirancang. Sebaik tiba di anjung terbuka, memang dah rasa nak cuba Skywalk,” kata Yusuf Rizqn yang mulanya kecewa tidak dibenarkan melakukan aktiviti itu kerana berselipar.Bagaimanapun, kasut sukan ibunya jadi penyelamat, manakala si abang pula meminjam kasut bapa mereka untuk membolehkan kedua-duanya merasai pengalaman itu. Jadi bagi yang berminat melakukan aktiviti ini sebaiknya memakai pakaian selesa termasuk kasut yang sesuai bagi merealisasikan impian anda! Selepas persiapan dibuat dengan mengenakan peralatan keselamatan pada badan serta bertopi keledar, mereka diberi taklimat ringkas sebelum memulakan aktiviti itu kira-kira pukul 9.30 malam.

Pemandangan indah bandar Kuantan dari atas Menara Kuantan 188.Cuaca yang baik dengan tiupan angin begitu nyaman mengiringi langkah demi langkah mereka sambil menyaksikan pemandangan malam sekitar bandaraya Kuantan. Berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) autisme, Muhammad Razin memberi kerjasama sebaiknya sepanjang aktiviti berkenaan, malahan menunjukkan keyakinan diri apabila diberi peluang mencuba sesuatu yang baru. “Suka sangat, walaupun gayat tapi saya cuba atasi perasaan itu,” katanya yang tertarik melihat cahaya lampu warna-warni di sekitar Kuantan Waterfront.Kedudukan di anjung terbuka itu membolehkan pengunjung menyaksikan pemandangan 360 darjah itu termasuk Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Jambatan Tanjung Lumpur, padang bola Majlis Perbandaran Kuantan, Bukit Pelindung, kemeriahan car booth salesdi Taman Kerang serta lampu yang menerangi laluan Kuantan Art Street di lorong belakang kedai di Jalan Besar yang dipenuhi mural yang menarik mata memandang.


Taklimat ringkas dan panduan keselamatan diberikan petugas sebelum aktiviti dimulakan.

Selain Skywalk, antara aktiviti lain yang akan dilancarkan dalam masa terdekat adalah pendakian tiang pada ketinggian 160 meter di puncak keluli setinggi 66 meter dan juga terjunan berpandu dari pelantar yang dibina pada ketinggian 104 meter. Jadi, bagi yang masih belum merancang percutian anda, boleh saja ke bandaraya ini kerana ia turut menyajikan pelbagai tarikan lain termasuk makan enak selain beberapa lokasi pantai yang indah berdepan Laut Cina Selatan dengan deruan ombak yang tidak pernah penat menghempas pantai.

Menara dengan reka bentuk menegak dan profil tirus melambangkan senjata Melayu lama iaitu lembing dan hujung bilah lembing seperti di Jata Negeri Pahang sentiasa menerima kunjungan pelawat yang ingin merasai pengalaman berada di menara tertinggi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Menara Kuantan 188 disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Februari tahun lalu.