Mahu cara mudah dan jimat ketika bercuti. Ini 6 tips mudah rancang percutian bersama keluarga.

Sekarang dah nak masuk hujung tahun, pasti ramai yang dah merancang nak bawa anak anak keluar dari ibukota, melancong, beriadah dan sebagainya. Ibubapa lah yang dipertanggungjawab untuk menguruskan semua urusan yang berkaitan. Dari perancangan tempat percutian, penginapan, pengangkutan dan juga aktiviti percutian. Maklumlah dan hujung tahun, anak anak juga perlukan ruang untuk dibawa beriadah dan kita sebagai ibubapa yang bekerja haruslah berkorban meluangkan masa bercuti bersama. Kami juga ingin berkongsi dengan pembaca tips percutian dengan cara yang lebih jimat:

1. Rancang percutian lebih awal

Biasanya tiket penerbangan lebih murah jika ditempah awal atau mungkin kita boleh tempah sewaktu promo atau sebagainya. Tapi ingat, kita haruslah rajin cek harga semasa setiap hari supaya tak terlepas harga istimewa yang ditawarkan.

2. Tempahan Penginapan secara online

Mungkin semua dah tahu kan, harga hotel akan menjadi lebih mahal jika walk inatau terus ke kaunter hotel. Jangan pulak kita salahkan hotel jika harga yang dikenakan mencekik darah. Banyak saluran yang kita boleh periksa seperti, Trivago, Traveloka, Airbnb dan sebagainya.

3. Tak Perlu Hotel 5 Bintang

Tak perlu cari tempat penginapan yang mahal kerana kita akan lebih banyak menghabiskan masa diluar. Lebih jimat lagi jika kita mencari tempat penginapan yang menyediakan dapur untuk memasak. Sekurang-kurangnya sarapan pagi atau makan malam kita boleh masak sahaja. Itu kan lebih jimat dari makan diluar. Tempat penginapan juga haruslah berhampiran dengan destinasi menarik yang boleh kita lawati. Ini akan menjimatkan kos pengangkutan.

4. Sewa Kereta

Jika tempat percutian hanyalah di dalam negara, tak salah sekiranya jika kita memandu sendiri, ini akan lebih menjimatkan.

5. Pilih Aktiviti Yang Percuma

Cari aktiviti yang boleh dilakukan secara percuma atau kos yang lebih rendah seperti melawat muzium, mandi air terjun, atau beli secara pakej kerana kos harga pakej lebih murah berbanding kos yang dibeli berasingan. Bawa makanan ringan dan minuman semasa keluar berjalan.

6. Senarai Perbelanjaan

Sediakan senarai perbelanjaan yang perlu sahaja dan cuba untuk ikut senarai tersebut. Perancangan perjalanan sangat menjimatkan wang anda. Sebenarnya kalau bercuti masa bukan musim cuti sekolah lagi lah jimat tapi apakan daya…kita perlu fikirkan kepentingan keluarga juga. Wang ringgit kan boleh dicari dari luangkan masa bersama keluarga tercinta. Harap tips kali ini dapat dimanfaatkan untuk anda meminimakan perbelanjaan tapi memaksimakan kepuasan. Selamat Bercuti. Sumber: murai.my

Sering Dapat Harga Mahal Ketika Membeli Cenderamata. Ketahui 5 Tips Untuk Dapatkan Harga Murah Ketika Melancong.

Membeli cenderamata ataupun ole-ole sudah menjadi kewajipan ketika pulang dari melancong. Kadangkala seringkali rasa takut untuk membeli kerana harganya yang terlampau tinggi sehinggakan anda terpaksa fikir dua kali untuk membelinya. Berikut adalah 5 tips yang boleh digunakan untuk pastikan harga cenderamata jauh lebih murah menurut IDN Times.

Berkomunikasi Dengan Cara Yang Sopan Dan Ramah

Keakraban antara pelancong dan penjual akan muncul walaupun melalui perbualan kecil terutamanya jika pelancong boleh menggunakan bahasa tempatan dari kawasan yang mereka kunjungi. Sekiranya pendekatan ini berjaya, penjual kadang-kadang tidak teragak-agak untuk menurunkan harga jualan cenderamata kepada pelancong.

Tawar Menawar Untuk Harga Yang Dimahukan

Menurut IDN Times, di beberapa lokasi yang menjual cenderamata, tawar menawar telah menjadi amalan biasa antara penjual dan pelancong. Lebih-lebih lagi jika pelancong pandai menawar harga sehingga mencapai harga yang dimahukan. Pasti tips yang ini dapat menjimatkan perbelanjaan semasa percutian.

Tanyakan Cadangan Daripada Penduduk Setempat

Sekiranya anda mempunyai kenalan yang tinggal di kawasan yang anda kunjungi, tanyakan cadangan untuk kedai cenderamata murah. Mungkin anda boleh tanyakan pendapat daripada penduduk setempat mengenai kedai yang paling murah dan sesuai untuk membeli cenderamata.

Membeli Dengan Peniaga Kecil

id=”attachment_95524″ class=”wp-caption aligncenter” aria-describedby=”caption-attachment-95524″>

Menurut IDN Times, biasanya kedai cenderamata berskala kecil selalu mengenakan harga yang lebih berpatutan daripada kedai yang sudah mempunyai jenama. Inilah yang dapat digunakan oleh pelancong untuk mendapatkan cenderamata dengan harga yang lebih rendah.

Membandingkan Harga Dengan Kedai Yang Lain

Mungkin tips ini agak memakan masa, tetapi percayalah hasilnya anda akan berpuas hati. Buatlah survey dahulu dengan membandingkan harga dari satu kedai ke kedai yang lain. Pasti anda tidak menyesal kerana anda telah berjaya membuat pemilihan yang paling tepat. Jadi untuk anda yang merancang untuk melancong dan membeli cenderamata kenangan daripada tempat yang anda kunjungi bolehlah cuba tips di atas sebagai panduan. Selamat Mencuba! Sumber: murai.my

Makanan Jadi Mahal Di Kawasan Tumpuan Pelancong. Ini Antara 5 Sebab Mengapa Harga Makanan Mahal Di Kawasan Pelancongan Anda.

Kisah ‘siakap viral’ masih menjadi perbualan ramai sehingga hari ini dan bukan nak menyebelahi mana-mana pihak, sebagai seorang yang selalu travel, ada beberapa perkara yang sentiasa perlu diambil kira untuk dimasukkan kedalam kos perjalanan. Salah satu daripadanya adalah kos untuk makanan. Kalau fikir logik, lagi kerap korang makan, lagi banyaklah perbelanjaan yang dikeluarkan, itu belum lagi faktor lokasi atau jenis makanan yang dimakan.

Namun, pengalaman mengembara ke negara-negara lain termasuk destinasi tumpuan pelancong yang ada di Malaysia ni pun, ada satu persamaan yang boleh dikatakan berlaku di hampir kesemua destinasi yang terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong atau kawasan pelancongan iaitu harga barangan dan makanan akan lebih mahal daripada biasa.

Kita ambil contoh mudah, harga air mineral di kedai biasa katalah RM2, tetapi kalau kita ke kedai yang ada di dalam taman tema atau dijual di tempat tarikan pelancong, mesti harga akan dinaikkan sedikit, boleh jadi RM3, kadang-kadang ada yang jual sampai RM5! Tapi nak buat macam mana, sebab itu sahaja yang ada, maka terpaksalah jugak beli. Berbalik pada isu harga yang mahal ni, sebenarnya ada beberapa faktor yang menyebabkan harga di tempat tumpuan ni sebegitu, antaranya adalah :

1. Kadar Sewa Mahal

Umum ketahui, sekiranya kawasan tersebut menjadi tarikan para pelancong pastinya kawasan tersebut akan dikenakan harga sewaan yang tinggi. Menurut perkongsian ini, kadar sewaan kedai atau gerai di kawasan pelancongan merupakan yang paling tinggi berbanding kawasan lain. Jadi, untuk memastikan pulangan wang modal, peniaga-peniaga terpaksa menggandakan harga barangan. Nama pun berniaga, mana ada orang meniaga nak rugi kan.

2. Lokasi

Sebahagian daripada lokasi atau destinasi pelancongan ni bukan terletak di kawasan bandar, ada yang di atas pergunungan, di pulau dan sebagainya. Jadi, peniaga-peniaga perlu mengeluarkan kos yang lebih untuk pengangkutan selain perlu memenuhi permintaan pelancong yang kesana. Selain lokasi yang kadangkala terletak jauh di pedalaman dan mengambil masa yang lebih lama untuk menerima bekalan, ada antara makanan ini perlu dipastikan tahap kesegarannya jadi dekat sinilah peniaga akan ‘main harga’ untuk memastikan mereka tidak rugi.

3. Kos

Selain dari dua faktor sebelum ini, kos yang lebih tinggi adalah punca barangan terpaksa dijual lebih mahal daripada biasa. Antara kos yang selalunya kita tak nampak adalah kos operasi, yang mana mungkin tuan kedai terpaksa mengeluarkan lebih banyak modal untuk membayar pekerja, minyak untuk lori penghantaran dan lain-lain. Salah satu contoh mudah, bandingkan sahaja harga keropok di ‘bawah’ berbanding harga keropok yang dijual di kawasan tanah tinggi, Genting Highlands misalnya.

4. Faktor Musim

Kalau korang nak tahu, sektor pelancongan pun ada musim tau. Biasanya sering dipanggil sebagai low-season atau peak-season. Biasanya musim ini ditentukan dengan jumlah kedatangan pelancong ke sesetengah kawasan pelancongan tersebut. Kalau dekat negara kita sendiri, korang boleh jumpa dua harga pada hotel, iaitu harga musim puncak atau harga biasa.

Biasanya bila tiba waktu puncak ni, kedai-kedai akan tak menang tangan untuk melayan pelanggan, jadi mereka akan mengenakan harga tinggi sesuai dengan permintaan. Bila permintaan berkurang, barulah harga akan diturunkan seperti biasa. Ini perkara biasa dalam dunia perniagaan.

5. Psikologi Perniagaan ‘Sekali’

Biasanya, model perniagaan yang diterapkan ditempat yang menjadi tumpuan pelancongan ni adalah pembeli ‘sekali’. Dalam erti kata lain, pelancong yang datang tidak mungkin atau berkemungkinan kecil sahaja akan membuat pembelian kali kedua yang biasa dipanggil repeat customer. Jadi bila tidak bergantung kepada pelanggan yang membuat pembelian semula ini, pekedai akan mengambil peluang ini dengan sengaja meletakkan harga yang tinggi selain biasanya pelancong yang tengah seronok bercuti ni, jarang dia nak berkira. Lebih-lebih lagi kalau bab makan. Betul tak?

Sebagai kesimpulan dekat sini, korang yang pergi bercuti tu kena pandai semak atau bandingkan dahulu harga semasa dan harga di tempat percutian korang tu. Kalau melampau sangat, boleh je cuba cari tempat yang lebih murah. Tapi, mengikut pengalaman lah kan, kalau satu kedai jual harga itu, seluruh peniaga dalam kawasan yang sama juga akan meletakkan harga yang lebih kurang, tak ada yang akan ‘buang’ harga. Tak percaya? Lepas ni kalau korang pergi bercuti mana-mana, cuba survey harga mana-mana barang.