Setiap tanaman memerlukan penyiraman air untuk mengelakkan kelayuan atau m.4ti. Tanaman hiasan tidak asing lagi dalam kehidupan masyarakat kini yang serba modn, malah ada yang menjadikan menanam pokok dan bunga sebagai hobi dan kerjaya. Bagaimanapun, seseorang yang menanam bunga perlu tahu kaedah merawat bunga tanaman dan risiko yang mungkin berlaku jika bunga jarang di siram.
Ini kerana, menyiram adalah salah satu rawatan paling mudah dan penting untuk memastikan tumbuhan dalam rumah hidup. Semasa menyiram, air yang diberi mestilah dalam kuantiti yang mencukupi tidak lebih atau kurang. Bagaimanapun, terdapat beberapa ciri tanaman hiasan kekurangan air, termasuklah;
1. Daun layu
Daun atau bunga tanaman hiasan menjadi layu merupakan ciri-ciri klasik yang disebabkan oleh kekurangan air. Ianya kerana pemilik kurang memberi air mengakibatkan sel dan jaringan di dalam tanaman menjadi kaku. Walaupun punca kelayuan tumbuhan boleh disebabkan oleh sakit, faktor utama masih dipengaruhi oleh keperluan air yang tidak mencukupi.
2. Tanah kering
Selain manusia, tumbuhan hiasan juga terdedah kepada dehidrasi sehingga tanah menjadi kering dan keras. Jika tanah di sekeliling tumbuhan anda kelihatan kering hingga retak, kemungkinan besar ia memerlukan lebih banyak air. Tetapi pengecualian untuk succulents dan kaktus, kerana jenis ini tidak memerlukan banyak air disamping ia boleh menyimpan kandungan air dengan baik.
3. Hujung daun kering dan mati
Ciri lain tumbuhan hiasan kekurangan air ialah tahap air dihujung daun mengering malah ada yang menguning. Apabila tumbuhan tidak mendapat air yang mencukupi, bahagian tepi daun terdedah kepada kekeringan dan menjadi coklat. Atas dasar itu, jika dibiarkan, akhirnya seluruh daun tanaman hiasan tersebut akan bertukar keperangan seperti terbakar dan mati berguguran.
4. Pertumbuhan perlahan
Tanaman hiasan yang jarang disiram sangat mempengaruhi pertumbuhannya sehingga menjadi lebih perlahan. Bukan itu sahaja, kemarau akibat kekurangan air menyukarkan tumbuhan untuk merangsang pertumbuhan daun baru. Berbeza dengan tumbuhan yang diberi bahagian air yang mencukupi, ia cenderung mudah tumbuh dan kelihatan sihat selain daunnya yang bertambah. Sumber: Mstar
Pokok Yang Anda Tanam Degil Dan Tak Mahu Berbuah. Ketahui Cara Buat Teknik Kelaran. Hasilnya Memang Lebat.
Jika di halaman rumah kita ada menanam pokok buah-buahan tapi setelah sekian tak juga berbuah mungkin sudah sampai masa anda buat teknik kelaran seperti yang dikongsi oleh Abdul Hamid Ahmad ini. Daripada merungut depan pokok, sebaik ambil parang dan buat teknik kelaran ini. Buat dengan penuh perasan ya.
Teknik kelaran atau girdling
Sebelum ini saya ada menyebut teknik kelaran (atau girdling technique) yang telah saya buat pada pokok tin dan pokok mangga. Beberapa sahabat serta tuan admin Izham Alias mencadangkan dibuat pautan kepada maklumat ini. Maka dikesempatan ini saya tuliskan sebuah nota ringkas yang menerangkan sedikit-sebanyak tentang teknik ini.mTeknik girdling diamalkan oleh penanam pokok buah-buahan, baik untuk kegunaan sendiri atau di ladang. Ada dua tujuan teknik ini dilakukan:
a) Untuk mendapatkan buah yang banyak pada sesuatu musim, dan untuk menjadikan buah lebih besar dan lebih perisa. b) Untuk memaksa pokok berbuah.
Ramai yang merungut pokok yang ditanam sehingga kini tak berbuah. Maka mahu ditakik dan ditabur garam. Ada yang cadangkan bakar pangkalnya. Disuruh bercakap dan berunding dengan pokok. Malah ada yang suruh ikatkan selipar buruk. Paling dahsyat, disuruh sarungkan coli pada pokok durian! Apa sahajalah, asalkan bahagia. Jika tak dapat buah, dapat lucunya. Apa kata buat teknik kelaran?
Teori
Tumbuhan membentuk makanan (dalam bentuk karbohidrat, atau disebut juga “gula”) melalui fotosistesis di daun. Kemudian gula ini disebarkan ke seluruh pokok, tetapi akhirnya dihantar ke akar untuk tujuan simpanan. Jalan penghantaran bahan gula ini adalah melalui tisu floem yang banyak terdapat pada kulit. Pokok yang lambat berbuah itu terus-terus sahaja menyimpan gula ini di akar. Ini kita tak mahu. Kita mahu dia simpan di dahan-dahan dan apabila cukup bekalan, cepat-cepat membentuk bunga dan buah. Jika itu yang kita mahu, maka lakukan sesuatu supaya gula itu tidak dihantar ke akar. Bagaimana? Potong jalan penghantaran itu. Iaitu dengan membuat kelaran pada kulit. Kelaran boleh dibuat pada:
a) pangkal dahan-dahan utama
b) sekeliling paksi pokok.
Cara membuat kelaran
- Senang sahaja. Kelar.
- Potong kulit sehingga menyentuh tisu kayu. Sentuh saja. Jangan potong kayu itu. Buat potongan pertama. Kemudian potongan kedua. Lebar kelaran ini hendaklah tidak lebih daripada 5mm. Jika pokok kecil seperti pokok tin, 2mm cukuplah.
- Potonglah menggunakan pisau yang tajam. Jika pokok ini subur, selepas dua potongan dibuat, tinggal siat sahaja. Kulitpun tanggal. Lihat gambar.
- Selepas kelar, terpulanglah. Boleh dibalut dengan plastik cantuman. Boleh cat. Boleh biarkan sahaja.
- Maka selepas beberapa minggu, seharusnya pokok mula mengeluarkan bunga dan seterusnya berbuah. Selepas dua bulan, kelaran tadi sudah bercantum semula. Sebab itu jangan kelar lebar. Nanti pokok mati. Tinggal bacakan talkin sahajalah.
- Jika kelaran ini bertujuan untuk membesarkan dan memaniskan buah, kelarlah selepas bunga kembang. Jangan lewat. Jangan terlalu awal.
- Jika kelaran bertujuan untuk memaksa pokok berbuah, buatlah bila anda geram dan marah-marah.
Kaedah
Saya tunjukkan gambar sebenar girdling pada dahan mangga Honey Dew yang saya buat. Kelaran boleh dibuat dengan dua cara iaitu dengan bersambung atau bertindih.
a) Bersambung jika anda dapat buat potongan dengan lurus. Jika mahu buat begini, tandakan dengan pensel atau pen. Baru potong dengan pisau.
b) Bertindih. Hujung tidak bertemu tetapi MESTI bertindih.
Kalau tak bertemu? Kalau tak bertindih?.Kalau tak ikut teknik dan nasihat cikgu, tak menjadilah. Selamat mencuba. Sumber: Rose Merah
Rupanya Haiwan Jallalah Perlu Dikuarantin. Ketahui Hukum Dan Tempoh Kuarantin Sebelum Boleh Dimakan.
Apakah dibolehkan makan haiwan jallalah? Haiwan jallalah adalah haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun ia bukan tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak. Justeru, termasuklah juga dalam kategori ini adalah ikan-ikan yang membesar di dalam kolam najis, ikan-ikan ternakan yang diberi makan najis berupa perut ayam dan sebagainya. Ataupun ayam kampung yang dibiarkan bebas sehingga memakan kotoran serta najis dan lain-lain seumpamanya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, dari sudut sains, haiwan jallalah ini dikenali sebagai coprophagous (coprophagy). Coprophagous ini jelas Zulkifli ialah hidupan yang makan tahi atau najis haiwan yang lain. Kebanyakan serangga merupakan spesies coprophagous dan biasanya merupakan pengguna tegar tahi atau najis haiwan herbivor yang lebih besar daripadanya. Antara serangga daripada spesies ini ialah kumbang tahi (dung beetles). Persoalannya, berapa lamakah kadar tempoh kuarantin haiwan jallalah bagi mengharuskan dagingnya untuk dimakan?
Ada segelintir membiarkan kolam ternakan mereka kotor dan membiarkan ikan makan najis dan kotoran.
Zulkifli menjelaskan mengenai hukumnya, para ulama telah berbeza pendapat mengenainya kepada dua iaitu sama ada haram atau makruh. Perbezaan pendapat ini timbul disebabkan oleh perbezaan mereka dalam memahami maksud sebenar larangan Rasulullah SAW dalam hadith berkenaan isu ini yakni adakah ia merujuk kepada haram atau makruh sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata: (Maksudnya): “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah yakni dagingnya dan susunya.”
Begitu juga terdapat riwayat lain yang datang dengan lafaz: (Makasudnya): “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah daripada jenis unta, sama ada menunggangnya atau minum daripada susunya.” Pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i ialah hukumnya adalah makruh, dan ini juga merupakan pendapat mazhab Maliki dan Hanafi, serta salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali.
“Hal ini kerana larangan tersebut tidak kembali kepada zatnya, akan tetapi kepada perkara yang mendatang yakni bukan kekal pada zat yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. “Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Selain itu, mereka juga berhujah bahawa apabila haiwan berkenaan memakan najis dalam kuantiti yang banyak telah menyebabkan dagingnya berubah dan berbau busuk. “Oleh itu, makruh memakannya sebagaimana makanan yang berbau busuk yang lain,” jelasnya.
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.