Ingatkan kucing tak sejuk, rupanya ini simptom sekiranya suhu badan si bulus turun mendadak

Kucing yang berada di dalam rumah juga terdedah kepada kesejukan.  Ramai yang beranggapan bahawa si bulus sering berasa panas berbanding sejuk kerana memiliki bulu yang tebal. Namun jangan salah sangka kerana kucing juga boleh merasa sejuk sama seperti manusia. Menerusi laporan, pakar membahaskan mengenai kemungkinan kucing berasa sejuk.

“Kebanyakan kucing menangani rasa sejuk dengan sangat baik. Kucing yang terbiasa menghabiskan masa di luar rumah tahu waktu untuk pulang,” ujar seorang doktor haiwan, Michael Arpino yang bertugas di Veterinary Wellness Centre Boerum Hill di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat. Bagaimanapun dalam kedinginan malam terutamanya pada suhu yang esktrem, anda tidak boleh meninggalkan si bulus di luar rumah. Hakikatnya kucing yang berada di dalam rumah juga berkemungkinan boleh berasa sejuk. “Cara untuk mencegah kucing kesejukkan adalah dengan menyediakan tempat yang nyaman dan selesa untuk mereka,” kata seorang lagi doktor haiwan di Bond Vet New York City, Amerika Syarikat, Zay Satchu.

Persoalannya berapakah suhu yang terlalu sejuk buat kucing? Jelas Arpino, dalam peraturan umum suhu di bawah 7.2 darjah Celcius adalah terlalu sejuk. Jika suhu menurun di bawah titik beku, kucing berisiko tinggi untuk terkena hipotermia apabila mereka berada di luar rumah pada waktu yang lama. Bagi kucing yang tidak mempunyai bulu, Arpino menjelaskan bahawa ia tidak boleh dibiarkan berada dalam cuaca yang lebih dingin. Nasihatnya agar sediakan selimut untuk kucing yang tidak mempunyai bulu.

Selain itu kucing yang gemuk mungkin dapat menangani rasa sejuk dengan lebih baik, malah mereka juga akan lambat terdedah kepada bahaya daripada sudut kesihatan yang lain. Si bulus yang mempunyai kondisi perubatan tertentu berisiko dijangkiti hipotermia. “Kucing yang menderita sakit endokrin seperti hipertiroidisme tidak boleh keluar dalam cuaca sejuk kerana ia biasanya sensitif terhadap sejuk. Kucing dengan sakit apa pun termasuk sakit ginjal, jantvng, brh dan lain-lain tidak boleh keluar daripada rumah dalam apa jua cuaca sekalipun,” tambah Arpino.

Pemilik kucing seharusnya sedar dalam keadaan apa haiwan kesayangan mereka menunjukkan simptom kesejukan atau mengalami hipotermia. Menurut Pet MD, tanda-tanda hipotermia meliputi kekeliruan, anak mata yang membesar, sukar bernafas, kekejangan otot, tekanan darah rendah, degupan jantung lambat, dan koma. Jika kucing anda mengalami salah satu gejala hipotermia yang disebutkan di atas, segera berjumpa doktor haiwan berdekatan. Sumber, Mstar

Kucing Ibarat Berpuasa Sepanjang Tahun Di Sini, Heliza Helmi Pesan Bawa Makanan Kucing Jika Pergi Mekah

Memang umum lagi kita ketahui dengan penyanyi dan juga aktivis kemanusiaan Datin Seri Heliza Helmi. Heliza menyarankan jemaah yang hendak menunaikan umrah ke Tanah Suci Mekah dan Madinah supaya membawa bersama makanan kucing untuk diberi kepada kucing-kucing jalanan di sana. Heliza atau nama lengkapnya Nur Heliza Helmi yang kini sedang menunaikan ibadah umrah dan ziarah bersama suaminya, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman sejak 21 Mac lalu, berkongsi simpati saat melihat banyak kucing-kucing jalanan di sana yang kelaparan. “Kucing di sini (Mekah dan Madinah) sangat kasihan. Kebuluran, kelaparan serta kehausan. Jadi sangat disarankan (kepada para jemaah) supaya dapat membawa makanan kucing ke Tanah Suci. “Hendak beli di kedai-kedai runcit di sini, tidak jumpa pula. Belikan sekali bekas untuk letak makanan dan minuman untuk kucing. Semoga Allah S.W.T reda dan menerima amalan kita semua. Insya-Allah,” tulisnya dalam Instagram.

Menerusi hantaran berbeza, Heliza turut berkongsi beberapa video dia berkongsi rezeki dengan memberi makanan kepada kucing-kucing jalanan yang kelaparan termasuk di sekitar kawasan Masjid Nabawi di Madinah. “Banyak kucing kelaparan di sini. Ada kucing yang matanya buta dan ekornya terbakar. Kucing-kucing di sini kehausan kerana kawasan yang kering. Jadi tidak ada air yang bertakung. Makanan pun tiada. “Kucing-kucing di sini memang sangat kelaparan dan susah hendak makan.Marilah sama-sama kita berkongsi rezeki bersama kucing,” pintanya. Tambah bekas peserta program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu lagi, laparnya kucing-kucing di sana diibaratkan seperti berpuasa selama setahun apabila diberi makan. “Saya sebenarnya malu hendak kongsikan, tapi saya rasa ini merupakan satu keperluan. Macam mana kita lapar, begitu juga kucing. Mereka (kucing) ibarat berpuasa sepanjang tahun di sini,” katanya.

Menjengah dalam ruangan komen, ada pengikutnya yang mengakui situasi sama menyaksikan kucing-kucing berkeliaran di sekitar Masjid Nabawi, masing-masing turut berkongsi simpati dan berharap supaya Heliza dimurahkan rezeki oleh Allah SWT atas kemuliaan hatinya memberi makan kepada kucing-kucing jalanan. “Semoga Heliza dimurahkan rezeki oleh Allah SWT,” kata seorang netizen. Sumber, KOSMO! ONLINE