Korea Selatan mahu tukar cara pengiraan umur, Kemungkinan rakyat mereka lebih muda setahun

Memang tak asing lagi kita dengan negara Korea Selatan, jika korang minat K-drama atau muzik K-Pop, mesti dah tahu kan tentang budaya Korea Selatan yang satu ini di mana ada cara pengiraan umur yang unik iaitu umur Korea atau Korean Age. Namun, selepas ini, rakyat Korea Selatan mungkin bakal jadi setahun lebih muda, lapor BBC. Untuk pengetahuan anda, negara terbabit ada cara yang tersendiri dalam mengira umur rakyatnya  di mana bayi yang baru lahir terus dikira berumur setahun sebab dalam perut, bayi ni dah sembilan bulan. Apabila tahun baru menjelma, bayi tadi akan naik lagi setahun umurnya. Ini bermakna bayi yang lahir pada bulan Disember akan jadi dua tahun dalam masa yang singkat. Untuk nak lagi mudah faham, individu yang lahir pada tahun 1998 akan dikira berumur 24 tahun di negara-negara lain termasuklah Malaysia namun di Korea, mereka ini dah berumur 25 tahun sebab waktu lahir terus dikira setahun.

Penggunaan kaedah pengiraan umur Korea ini dikatakan akan dihapuskan agar umur rakyat mereka boleh diseragamkan dengan negara-negara luar lain. Menurut Lee Yong-ho iaitu ketua jawatankuasa peralihan presiden, perbezaan cara umur rakyat Korea dikira telah menyebabkan kekeliruan dan memakan kos dalam sektor ekonomi dan sosial. Cadangan berkenaan dikatakan telah diterima oleh kebanyakan rakyat di sana namun pakar masih mempunyai keraguan sama ada ia akan betul-betul dilaksanakan atau tidak. Walaupun isu umur ini dilihat seperti remeh buat kita di Malaysia sebab mesti ramai yang fikir, alah beza setahun je pun kan. Namun, untuk orang Korea pula, mereka perlu ambil tahu jika rakan sekerja atau teman baru mereka adalah lebih tua atau muda daripada mereka.

Ini kerana mereka perlu memanggil individu berkenaan dengan panggilan hormat yang bersesuaian dengan umur masing-masing seperti Oppa, Unni, Noona dan Hyung. Difahamkan juga, budaya ini sebenarnya berasal dari tradisi lama China namun kini, hanya Korea yang masih menggunakannya dalam kehidupan sehari-hari. Lagipun ketika pendemik, isu berkaitan umur ini telah menyebabkan sedikit kekeliruan dalam pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyat mereka yang layak. Mana taknya, vaksin kan hanya diberi kepada setiap rakyat mengikut kumpulan umur mereka, contohnya untuk yang berusia 18 tahun ke atas. Sumber, lobak merah