Memang nostalgia betul tradisi bakar meriam tanda isyarat berbuka puasa, Rupanya kampung ini masih mengamalkannya

Tradisi seperti ini memang sering dilakukan oleh penduduk kampung dahulu kala, tetapi kampung ini masih mengamalkan hingga kini. Tradisi membakar meriam sebagai isyarat sudah masuk waktu berbuka puasa masih diamalkan di Kampung Sungai Nipah Darat, Rungkup Bangan Datoh Perak di sini. Imam Masjid al-Falah, Shakawi Salleh ,73, berkata, membakar meriam sebagai tanda sudah masuk waktu berbuka dilakukan sepanjang Ramadan. Katanya, tradisi itu dilakukan sebagai panduan kepada penduduk sudah masuk waktu berbuka puasa.

Katanya “Tradisi menembak meriam di sepanjang bulan puasa ini bukan untuk suka-suka. Ia dipercayai bermula disebabkan dahulu penduduk tidak mempunyai alat komunikasi seperti radio selain kedudukan rumah yang jauh dari masjid menyebabkan mereka sukar untuk mengetahui sama ada sudah masuk waktu berbuka puasa atau tidak. “Jadi dahulu bunyi meriam digunakan sebagai tanda sudah masuk waktu berbuka puasa. Tradisi ini kami teruskan walaupun alat perhubungan hari ini begitu moden,” katanya kepada Utusan Malaysia. Menurut Shakawi, masyarakat hari ini boleh mendengar radio atau melihat jam jika mahu mengetahui sudah masuk waktu berbuka puasa tanpa perlu bergantung kepada isyarat daripada bunyi meriam.

Katanya, keadaan itu tidak semeriah jika mendengar bunyi letupan meriam sebagai isyarat berbuka. “Semasa kecil dahulu memang permainan meriam meriah semasa bulan puasa. Ketika itu meriam dibuat daripada buluh namun sekarang meriam dibuat daripada paip PVC. “Tradisi membakar meriam sebagai isyarat berbuka masih diteruskan di sini sebagai nostalgia dan dentuman meriah dapat memberi isyarat sudah masuk waktu berbuka puasa,” katanya. Menurutnya, selain daripada isyarat berbuka puasa, membakar meriam juga dilakukan sebagai makluman ketibaan 1 Syawal. Sumber, utusan online